Home Antarabangsa Slogan anti-Islam cemari pungutan suara

Slogan anti-Islam cemari pungutan suara

SHARE

GENEVA 12 Feb. – Switzerland bakal membuat undian sama ada memberi laluan mudah bagi gene­rasi ketiga kumpulan pendatang di negara ini untuk mendapat hak kewarganegaraan.

Kerajaan termasuk ahli Parlimen dan parti politik menyokong cadangan untuk membenarkan cucu kepada kumpulan pendatang mengetepikan beberapa prosedur dalam proses yang panjang untuk mendapatkan pasport Switzerland.

Namun pungutan suara yang dilancarkan telah dicemari de­ngan mesej-mesej anti-Islam dengan Parti Rakyat Switzerland (SVP) menimbulkan isu tentang Islam dan identiti kebangsaan semasa perbahasan.

Menurut kajian Jabatan Migrasi, kurang daripada 25,000 orang daripada sejumlah lapan juta orang kini layak dikategorikan sebagai pendatang generasi ketiga iaitu mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang datuk atau nenek yang lahir atau mempunyai taraf penduduk tetap di Switzerland.

Hampir 60 peratus kumpulan itu berasal dari Itali, diikuti penduduk Balkan dan Turki.

Sophie Guignard dari Institut Sains Politik Universiti Bern berkata, perbahasan tentang cadangan itu tiada kaitan dengan agama tetapi SVP berulang kali memburukkan Islam menimbulkan isu risiko lebih ramai penduduk Islam mendapat hak kewarganegaraan dan kemungkinan ‘hilangnya nilai-nilai Switzerland’. – AFP

Utusan Malaysia

Comments