Home Tempatan Skim insurans khas kepada guru

Skim insurans khas kepada guru

SHARE
Mohd Rizal dan Mohd Yusni pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama.

KUALA LUMPUR – Lebih 400,000 guru di negara ini, bakal menikmati manfaat perlindungan risiko, perkhidmatan berkaitan urusan kematian serta pengurusan wasiat harta pusaka menerusi langganan pakej khas yang baru diperkenalkan majalah Pendidik.

Pakej  Kasih Guru, Pendidik Mukmin dan Pendidik Amanah boleh dinikmati dengan mendaftar sebagai ahli Pendidik, apabila melanggan majalah berkenaan.

Ketiga-tiga skim ini diuruskan QBE Insurance (Malaysia) Berhad, MyKhairat Management Services Sdn Bhd, MyAngkasa Amanah Berhad yang merangkumi perlindungan insurans bagi kes mahkamah membabitkan tugas rasmi guru selain bantuan pengurusan jenazah dan harta pusaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar berkata, semua kelebihan itu ditawarkan kepada guru yang berminat menerusi jalinan usaha sama penerbit majalah berkenaan Wardah Communication Sdn Bhd bersama tiga rakan strategik.

“Pakej khas menerusi Majalah Pendidik ini, kami menawarkan tiga skim pilihan kepada guru pada kadar harga berpatutan iaitu Kasih Guru untuk perlindungan kematian, kehilangan upaya kekal akibat kemalangan mahupun kos ditimpa musibah seperti ragut, rompakan atau kecurian barangan peribadi.

“Skim ini yang dilaksanakan QBE Insurance turut melindungi guru daripada sebarang risiko termasuk insiden menyebabkan mereka berdepan tuntutan ganti rugi mahupun diseret mahkamah oleh ibu bapa atau pihak tertentu disebabkan kecuaian semasa menjalankan tugas,” katanya selepas mendatangi perjanjian usaha sama antara ketiga-tiga wakil syarikat berkenaan di Bangunan Widad di sini.

Katanya, Skim Pendidik Mukmin yang diuruskan MyKhairat pula menawarkan pakej pengurusan jenazah sama ada kematian berlaku di luar negara mahupun dalam negara.

“Selain itu, skim Pendidik Amanah menerusi MyAngkasa pula menawarkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka dan wasiat ahli,” katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan MyKhairat Management Services Sdn Bhd Mohd Yusni Ismail serta Ketua Pegawai Operasi QBE Insurance (Malaysia) Berhad William Foo.

Sementara itu Mohd Yusni berkata, skim yang kami tawarkan ini berbeza dengan pengurusan khairat sedia ada.

“Kami boleh menguruskan jenazah ahli walaupun kematian berlaku di luar kawasan kariah atau di luar negara,” katanya.

Sinar Online

Comments