Home Tempatan Sistem pendidikan sekarang gagal terap celik budaya: Mapim

Sistem pendidikan sekarang gagal terap celik budaya: Mapim

SHARE

BANGI, 20 Rejab 1438H, Isnin – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendapat sekolah pelbagai aliran tidak dilihat sebagai pelengkap dan pengkayaan kepada sistem pendidikan, sebaliknya ia menjadi pesaing untuk meraih undi dan menuntut hak kaum atas nama demokrasi.

Sehubungan itu, Mapim berpendapat bahawa sistem pendidikan negara yang ada sekarang gagal dalam menerapkan tahap celik budaya dikalangan generasi muda antara kaum dan agama yang berkesan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, polarisasi antara kaum bermula dari bangku sekolah dan natijahnya ialah semangat kekitaan dan perpaduan semakin lusuh, menyebabkan kerenggangan perpaduan nasional semakin jelas.

Beliau berkata, sistem pendidikan Malaysia sekarang ini hanya boleh dibanggakan dari segi celik huruf iaitu tahap literasi Malaysia mencapai 92.5 peratus, setaraf dengan Turki dan Russia.

“Akan tetapi sistem pendidikan Malaysia masih tertinggal dari segi celik budaya. Ini dapat dilihat betapa berbudaya hanya dilihat secara kosmetik dalam acara pementasan untuk diperagakan sebagai produk pelancongan. Bukan sebagai suatu gaya hidup yang berfungsi dalam kehidupan seharian. Natijahnya, budaya luar yang asing dan bertentangan dengan budaya tempatan menguasai generasi muda.

“Mangsanya ialah perpaduan antara kaum dan keharmonian antara agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, katanya, sewajarnya penilaian semula sistem pendidikan seperti disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyentuh soal keperluan meneliti sama ada sistem pendidikan yang ada sekarang berjaya melahirkan perpaduan nasional atau sebaliknya.

“Kami berpendapat seluruh rakyat dan mereka yang terlibat dalam pembangunan sistem pendidikan perlu jujur untuk bertanya sama ada negara ini mahu menjadi sebuah negara yang akhirnya runtuh akibat keretakkan perhubungan antara kaum atau menjadi sebuah negara model berdasarkan kesepakatan antara kaum dan semangat saling menghormati budaya dan adat sesama rakyat.

“Inilah yang sepatutnya menjadi fokus penilaian sistem pendidikan dalam perbahasan mengenai isu kepelbagaian aliran sekolah yang ada dalam negara sekarang.

“Adalah malang jika isu ini dilihat dari sudut kepentingan politik. Pendidikan adalah nadi kepada pembangunan dan masa depan negara. Jika semua pihak melihat dari kaca mata perkauman, pencapaian negara selama ini bakal terhakis dan matlamat asal penjajah untuk mengguna strategi “pecah dan perintah” akan kembali bertapak di negara ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata, akibat daripada perubahan pendedahan generasi muda kepada pelbagai pengaruh media sosial dan impak globalisasi budaya serta ujudnya polarisasi kaum yang semakin tajam, sistem pendidikan kelihatan tidak mampu menerapkan perpaduan nasional yang diharapkan.

“Wujudnya kebangkitan semula sentimen perkauman akibat persaingan politik telah mengetepikan apa yang cuba dibina didalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Comments