Home Tempatan Singapura pernah setuju selesai tuntutan Pedra Branca di mahkamah antarabangsa

Singapura pernah setuju selesai tuntutan Pedra Branca di mahkamah antarabangsa

SHARE

KUALA LUMPUR: Permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) oleh Malaysia adalah proses perundangan yang dipersetujui bersama Singapura, kata peguam negara.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, semakan semula itu adalah kesinambungan daripada persetujuan sebelum ini, iaitu kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan pertikaian tuntutan terhadap pulau itu menerusi ICJ.

“Rujukan melalui semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ini merupakan proses yang dibenarkan undang-undang tatacara di mahkamah tersebut dan isu pertikaian wilayah ini bukanlah perkara asing, ia sering berlaku,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas semakan semula itu hari ini.

Justeru, Mohamed Apandi percaya permohonan semakan oleh Malaysia itu tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Pada 3 Februari lalu, Mohamed Apandi dalam satu kenyataan mengumumkan Malaysia sudah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pedra Branca, Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

Permohonan semakan semula itu yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda sehari sebelum itu (2 Februari), dibuat susulan penemuan 3 dokumen sokongan di National Archives of the United Kingdom, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sulit.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pedra Branca yang terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Menurut Mohamed Apandi, semakan semula itu adalah satu komitmen dan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam mendapatkan semula hak ke atas pulau itu kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara.

“Saiz pulau tidak menjadi ukuran kerana walaupun 1 inci, kita wajib berjuang mendapatkannya semula kerana ini melibatkan kedaulatan kita,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments