Home Tempatan Sikap perkauman makin membimbangkan

Sikap perkauman makin membimbangkan

SHARE
KUALA LUMPUR 9 Jun – Risiko atau sikap perkauman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum semakin membimbangkan berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Data kajian tersebut menunjukkan hubungan etnik di Malaysia masih baik, namun risiko perkauman didapati semakin meningkat dan sekiranya tidak ditangani akan menyebabkan rakyat mengutamakan kepentingan etnik masing-masing dalam tindakan hidup.

Malah, perkara itu akan membawa kepada gejala negatif seperti stereotaip, prejudis, perkauman dan diskriminasi yang menebal dalam kalangan masyarakat.

Felo Utama Kita, Profesor Dr. Mansor Mohamad Noor berkata, faktor politik menjadi punca utama ketegangan antara kaum di samping perbezaan agama, politik, negara, bangsa, ekonomi dan mobiliti sosial.

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa risiko etnik atau sifat perkauman semakin meningkat dalam kempen-kempen pilihan raya oleh parti-parti politik untuk mempertahankan kepentingan mereka sendiri sehingga mampu memusnahkan perpaduan.

“Ini kerana, setiap institusi politik mempunyai agenda tersendiri dan menggunakan medium pengucapan kebencian untuk mempengaruhi minda masyarakat bagi menarik lebih banyak undi berdasarkan kaum.

“Malah, lebih menakutkan lagi, isu sensitiviti agama kurang diberikan perhatian sehingga menimbulkan kemarahan dan pergaduhan antara kaum terutamanya dengan perkembangan teknologi terkini yang membolehkan semua pihak menularkan sesuatu perkara dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Wacana Pengucapan dan Jenayah Kebencian, Impak Sosial dan Perundangan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Ros dan Timbalan Pengarah Kita, Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid.

Mansor berkata, bagi mengelak masalah berkenaan menjadi lebih besar, perlu ada kefahaman antara kaum dan ia boleh dicapai menerusi pendidikan sejak di bangku sekolah selain menerapkan semangat patriotisme dan pemantauan berterusan pihak berkuasa.

“Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, mereka sepatutnya duduk bersemuka antara satu sama lain bagi menyelesaikan salah faham dan bukannya mengambil tindakan agresif seperti kejadian semasa solat Jumaat di Johor Bahru baru-baru ini.

“Rakyat harus sedar bahawa perpaduan sangat penting bagi membentuk sebuah negara yang maju dan stabil, malah mereka harus memahami konsep perlembagaan negara kita bagi mengelakkan sebarang salah faham antara kaum,” katanya.

UTUSAN ONLINE

 

Comments