Home Tempatan Sidang Media PDRM : Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Dibakar

Sidang Media PDRM : Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Dibakar

SHARE

Dalam sidang media yang dibuat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebentar tadi, Datuk Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Kuala Lumpur, mengesahkan 7 orang suspek telah pun ditahan oleh pihak PDRM.

6 daripada 7 suspek berkenaan positif dadah dari jenis ganja.

Datuk Amar Singh juga menyatakan bahawa pihak PDRM dibantu oleh rakaman CCTV yang diperolehi daripada pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pihak PDRM juga menjelaskan bahawa terdapat bahan pembakar (hidrokarbon) digunakan bagi melajukan kebakaran yang dicetus.

Pihak PDRM walau bagaimanapun tidak mendedahkan cara dan bagaimana tindakan pembakaran tersebut dibuat supaya tidak menjejaskan proses tindakan di mahkamah dan juga boleh menjejaskan siasatan lanjut pihak PDRM nanti.

Menurut Datuk Amar Singh, terdapat kemungkinan telah berlaku tindakan ejek mengejek antara pelajar-pelajar sekolah tahfiz tersebut dengan kumpulan suspek yang ditahan yang kemudiannya berakhir dengan tragedi pada 14 September 2017.

Menjawab pertanyaan wartawan berkenaan mesej siasatan yang tersebar, Datuk Amar Singh menjelaskan bahawa sebarang keterangan yang pihak PDRM perolehi melalui telefon, hanya sebagai maklumat. Maklumat seperti itu berbeza dengan bahan bukti di mahkamah.

Ketika diajukan pertanyaan oleh wartawan berkenaan tindakan dan motif perlakuan sama ada memang untuk membakar tahfiz atau terdapat motif lain di dalam kes ini, Datuk Amar Singh menyatakan bahawa motif kes ini ialah motif untuk membakar (pusat tahfiz tersebut).

Menurut Datuk Amar Singh lagi, motif boleh diketahui melalui niat dan tindakan yang dijalankan.

Media sosial pada ketika ini sedang tular dengan mesej-mesej maklumat siasatan dan gambar-gambar beberapa orang suspek.

Sidang akhbar PDRM dibuat sebentar tadi di Pejabat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Comments