Home Tempatan Siasat segera klip audio hina Islam – PERMIM

Siasat segera klip audio hina Islam – PERMIM

SHARE
KUALA LUMPUR 27 JANUARY 2017. Presiden Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Dhajudeen Shahul Hameed (tengah) bersama dengan NGO - NGO India Muslim menunjukkan laporan polis dan kenyataan media pada sidang media isu penyebaran rakaman suara yang meghina agama islam serta masyarakat india muslim. NSTP/ROSELA ISMAIL

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) menggesa polis menyegerakan siasatan berhubung penyebaran dua klip audio menghina Islam dan masyarakat India Muslim, yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.

Presidennya, Dhajudeen Shahul Hameed, berkata sebanyak 18 laporan polis sudah dibuat oleh PERMIM serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan India Muslim sejak klip audio terbabit mula tersebar pada 18 Januari lalu.

Katanya, sebanyak 14 laporan polis dibuat di ibu negara dan Selangor serta selebihnya di Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, PERMIM sendiri membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 24 Januari lalu.

“Dua klip audio itu dalam bahasa Tamil itu, masing-masing berdurasi 31 saat dan 34 saat dipercayai dirakam seorang lelaki tempatan dan disebarkan melalui aplikasi perbualan Whatsapp.

“Kata-kata cacian dan makian yang dilontarkan lelaki itu terhadap agama Islam dan masyarakat India Muslim adalah amat keterlaluan, tidak boleh diterima dan menimbulkan kemarahan banyak pihak,” katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Kata Dhajudeen, isu sentimen keagamaan seperti ini perlu ditangani dengan sebaiknya kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

“Kita mahu pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara ini.

“Ia boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini dalam kelompok masyarakat kita yang berbilang bangsa dan agama ini,” katanya.

Difahamkan, antara yang disebut oleh lelaki di dalam klip audio itu adalah kata-kata menghina kewujudan Allah, cara umat Islam bersolat dan Kaabah serta mempertikai mengapa masyarakat India Muslim memilih untuk menganut Islam.

Berita Harian

Comments