Home Tempatan Siasat kemungkinan campuran daging kambing, babi sampai kepada pengedar

Siasat kemungkinan campuran daging kambing, babi sampai kepada pengedar

SHARE

BANGI, 26 Syawal 1438H, Khamis – Tindakan segera menyekat pengedaran daging kambing yang bercampur dengan daging babi yang ditemui dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, mesti dilakukan segera.

Sehubungan itu, Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Zainal Abidin Kidam menggesa agensi penguat kuas lain menjejaki kontena lain yang dibawa masuk dari Sepanyol dan kemungkinan telah sampai kepada pengimport atau pengedar.

Katanya, pihak berkuasa mesti melakukan pemeriksaan ketat dan siasatan menyeluruh serta saksama berikutan penemuan daging kambing import yang dipercayai bercampur daging babi, baru-baru ini.

“Tindakan pantas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) itu perlu disusuli tindakan lanjut oleh agensi-agensi berkaitan untuk menjejaki kontena selainnya yang mungkin telah sampai kepada pengimport atau pengedar supaya diadakan sekatan agar tidak berlaku penjualan kepada awam.

“Hukuman tegas mesti diambil terhadap pengeskport dan pengimport jika sekiranya terdapat bukti cuba menipu pengguna. Tindakan undang-undang wajib dihadapkan kepada pelaku menerusi hukuman maksimum dan membatalkan lesen halal yang diberi. Ia juga perlu agar menjadi pengajaran kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, perbuatan seperti itu adalah kecurangan dan pengkhianatan yang tidak boleh dikompromikan, semata-mata untuk mengejar untung sehingga mencampuradukkan makanan halal dan haram, apatah lagi dilakukan dengan sengaja atau sabotaj.

“Sensitiviti agama dan kepentingan pengguna seperti ini perlu sentiasa terjamin dengan penguatkuasaan yang efektif. Pihak-pihak yang terbabit dalam urusan berkaitan makanan umat Islam dari penternak hingga kepada penjaja juga perlu lebih prihatin terhadap perkara ini.

“Pencemaran atau percampuran bahan mentah antara halal dan haram wajib dipastikan tidak berlaku sama sekali dan rujukan serta nasihat daripada pihak berautoriti mesti diperolehi. Pengguna Islam juga dinasihat lebih sensitif agar tidak menjadi mangsa akibat dari ketidaktelitian dalam membeli atau menikmati makanan,” katanya.

Comments