Home Tempatan Setiap Muallaf Mempunyai Hak – Dato’ Mustapha Ma

Setiap Muallaf Mempunyai Hak – Dato’ Mustapha Ma

SHARE

PUTRAJAYA: Kerajaan ditegur supaya tidak mengorbankan hak orang Islam demi untuk memuaskan pihak lain dalam usaha membentangkan Akta 164 kata Naib Yang Dipertua 2, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Dato’ Mustapha Ma.

Beliau menegaskan bahawa hak seseorang untuk kembali kepada fitrah (Islam) dengan menukar agama anak-anak mereka tidak patut dihalang dan tiada siapa pun berhak untuk menghalang mana-mana individu daripada menjadi seorang Muslim.

“Semua manusia dilahirkan sebagai Muslim. Sama ada mereka dibesarkan sebagai seorang Muslim atau tidak, itu bergantung kepada ibu bapa masing-masing, sama ada mereka percaya kepada Tuhan atau tidak,” kata Dato’ Mustapha Ma.

Dato’ Mustapha Ma juga menegaskan bahawa di Malaysia khasnya, Tuhan telah memudahkan cara untuk manusia menjadi Muslim. Sebab itulah telah disebut (dalam Perlembagaan) bahawa apabila seseorang kembali kepada Islam, maka, tidak kisahlah sama ada suami atau isteri boleh menukar agama anak-anaknya (bawah umur) kepada Islam. Kini, kerajaan mahu mencadangkan satu undang-undang di mana kedua-dua ibu bapa perlu bersetuju sebelum agama anak boleh ditukar kepada Islam. Sudah pasti pihak satu lagi akan membangkang.

Selain daripada itu, beliau juga menyebut bahawa hak seseorang untuk menjadi Muslim perlulah berdasarkan prinsip bahawa anak-anak telah dilahirkan dalam keadaan Muslim, dan kita hanya membawa mereka kembali kepada kebenaran, fitrah. Tidak perlulah kita menyukarkan keadaan bagi seseorang yang mahu kembali semula kepada kebenaran. Apa masalahnya jika hanya salah seorang sahaja antara ibu atau bapa yang mahu anaknya kembali semula kepada kebenaran?

“Jika anda perlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa, maka anda sedang bercakap mengenai nilai manusia. Tuhan telah memberikan kepada kita hak, anda tidak boleh menggunakan nilai hak asasi manusia semata-mata,” tegas Dato’ Mustapha Ma.

Dato’ Mustapha Ma bersetuju bahawa konsep keadilan perlulah diambil daripada Tuhan dan bukan daripada manusia.

Apa yang lebih membahayakan adalah pindaan ini juga akan menjejaskan keputusan yang telah dibuat di mana, keputusan yang telah dibuat sebelum ini akan dapat diterbalikkan. Tujuan pindaaan ini adalah untuk merampas hak-hak sebagai Muslim daripada muallaf, kata Dato’ Mustapha Ma.

“Jika Islam adalah agama Persekutuan, maka ajaran dalam agama Islam perlulah dihormati.”

Apabila ditanyakan mengenai hak orang bukan Muslim yang kononnya dihalang kecuali jika Akta 164 ini dipinda, Dato’ Mustapha Ma membalas, “Hak mereka tidak dihalang, hanya hak anak mereka yang di bawah umur sahaja yang sekarang di tangan Tuhan. Mereka tidak dihalang daripada apa-apa hak, mereka masih mempunyai agama.”

“Kita hanya mengatakan bahawa mereka menjadi Muslim kerana mereka telah dilahirkan sebagai Muslim,” tambah Dato’ Mustapha Ma.

Comments