Home Antarabangsa Setelah Bodo Mende, Mahkamah Tinggi Austria Iktiraf Perkahwinan Sejenis

Setelah Bodo Mende, Mahkamah Tinggi Austria Iktiraf Perkahwinan Sejenis

SHARE

Vienna: Setelah pasangan gay pertama di Jerman, Bodo Mende dan Karl Kreile berkahwin, Austria pula menghalalkan perkahwinan sejenis.

Mahkamah Tinggi Austria baru-baru ini membenarkan perkahwinan sejenis bermula tahun 2019 dan mendakwa undang-undang yang bertentangan dengannya adalah melanggar prinsip anti-diskriminasi.

Menurut Peguam Helmut Grauper, hari tersebut merupakan hari yang bersejarah.

“Austria adalah negara Eropah pertama yang mengiktiraf kesamarataan dalam perkahwinan untuk pasangan sama jantina sebagai hak asasi manusia. Kesemua negara Eropah yang lain telah memperkenalkan perkahwinan sejenis ini dengan cara politik,” katanya dalam laporan yang disiarkan oleh Reuters.

Mahkamah Persekutuan Austria mendapati undang-undang 2009 membenarkan perkongsian berdaftar bagi pasangan sesama jenis tetapi mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin.

Menurut mahkamah lagi, “perbezaan perkahwinan dan perkongsian berdaftar itu perlu dimansuhkan tanpa mendiskriminasi pasangan sejenis”.

“Kesan diskriminasi memperlihatkan mereka yang hidup dalam perkongsian sama jantina perlu mendedahkan orientasi seksual mereka walaupun dalam keadaan yang tidak relevan… sangat tinggi untuk berlakunya diskriminasi,” kata mahkamah dalam keputusannya.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Parti Kebebasan Berhaluan Kanan (FPO), Herbert Kickl telah mengkritik keputusan tersebut.

“Sekarang terdapat rawatan kesamarataan untuk sesuatu yang tidak sama. Perkahwinan antara wanita dan lelaki perlu dilindungi kerana hanya gabungan ini dapat mewujudkan anak-anak,” kata beliau.

Tindakan mahkamah membenarkan perkahwinan sejenis telah membawa Austria sebaris dengan beberapa negara Eropah yang sekutu dengannya termasuk Jerman, Perancis, Britain dan Sepanyol. Difahamkan, negara pertama yang menghalalkan perkahwinan sejenis adalah Belanda iaitu pada tahun 2001.

Comments