Seruan Daulatkan Islam Agama Negara Di Padang Merbok

SHARE

Petaling Jaya : Himpunan Ummat Menyokong Pindaan Akta 355 semalam, menyaksikan kehadiran lebih 150,000 umat Islam dari pelbagai latar belakang. Perhimpunan yang menyaksikan lautan manusia dengan berbaju ungu seragam, berlangsung sejak tengahari hingga ke malam.

Penceramah-penceramah Islam dan bukan Islam dari kalangan NGO, ahli politik, guru-guru agama, penceramah bebas dan tokoh-tokoh yang dikenali di dalam perjuangan hak umat Islam, bersilih ganti berkongsi pentas bermula dari tengahari.

Himpunan mencapai kemuncaknya selepas waktu solat Isya’ bilamana beberapa orang tokoh dijemput menyampaikan ucapan. Kepimpinan NGO Islam seperti dari UMMAT, PEMBELA dan sebagainya menyampaikan ucapan masing-masing sebelum Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Gen (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan Tuan Guru Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang mengambil giliran.

Ucapan yang berselang seli dengan takbir yang dilaungkan, memecahkan gelombang suara dan sekaligus menaikkan semangat para peserta yang masih tidak berganjak walaupun basah kuyup disirami hujan lebat yang turun sejak waktu maghrib.

Dato’ Prof. Mahamad Naser bin Disa dari Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, turut mengambil pentas. Seruan Daulatkan Islam Agama Negara (DIAN) kemudiannya dilaungkan 150,000 orang peserta setelah mendengar penjelasan dan ucapan penuh semangat Mahamad Naser yang menjelaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular sepertimana yang sering didakwa, malah, Perlembagaan Persekutuan jelasnya, memperuntukkan dengan jelas tentang kedaulatan Islam pada Perkara 3(1) Perlembagaan.

Hadiran yang bersemangat melaungkan ungkapan Daulatkan Islam Agama Negara sebanyak 3 kali. Himpunan bersurai selepas semua dif kehormat menyampaikan ucapan.

Comments