Home Tempatan Serbuan SPRM tak pilih bulu

Serbuan SPRM tak pilih bulu

SHARE
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad. Sumber Gambar: Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sesekali memilih bulu, dalam membuat serbuan atau pendakwaan kes rasuah di negara ini, tegas Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Sebaliknya, Dzulkifli berkata, setiap tindakan penguatkuasaan SPRM dilaksanakan selepas menyiasat dan meneliti laporan berhubung kewujudan elemen rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

“Setiap siasatan yang dijalankan mesti ada laporan dibuat. Selepas laporan itu dikaji serta diteliti dan kita berpuas hati ia memiliki asas kukuh, barulah SPRM akan mengambil tindakan.

“Tindakan itu pelbagai, kadang-kadang kita laksanakan secara risikan, terus mengambil tindakan dengan membuat sitaan dokumen atau membuat tangkapan jika ada bukti kukuh.

“Kita tidak memilih. Kalau ada mana-mana laporan dibuat dan ia mempunyai asas kukuh bagi kita menyiasat, kita akan siasat dan ambil tindakan, namun tidak boleh bertindak pada semua suspen secara serentak,” katanya pada sidang media pelancaran teater Bahara Emas di Istana Budaya (IB) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemampuan SPRM kekal neutral dalam tindakan yang diambil, antaranya seperti serbuan terhadap Universiti Selangor (UNISEL) di Shah Alam dan Bestari Jaya, semalam.

Susulan serbuan itu, Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong, mendakwa Kerajaan Selangor kecewa dengan serbuan terbabit dan mendakwa ia adalah tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej kerajaan negeri.

Dzulkifli berkata, SPRM akan hadir dan membantu jika wujud dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang mengakibatkan rakyat sengsara, seperti yang dilakukan di Pulau Pinang dan Pahang.

“Kes di Pulau Pinang membabitkan pencemaran alam, kes di Pahang membabitkan bauksit. Ini adalah hasil daripada rintihan masyarakat itu sendiri, maka SPRM datang.

“Ini (tindakan di kedua-dua negeri) berlaku kerana di sana ada isu rasuah dan salah guna kuasa yang perlu disiasat dan diambil tindakan,” katanya.

Berita Harian

Comments