Home Antarabangsa Serangan Syria: PBB gesa semua pihak bertenang

Serangan Syria: PBB gesa semua pihak bertenang

SHARE
SETIAUSAHA Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto EPA

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres hari ini menggesa semua pihak bertenang, memperbaharui gesaan berdamai di Syria ketika Majlis Keselamatan memanggil mesyuarat tergempar membincangkan serangan Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan, Guterres berkata, mengambil kira risiko serangan meningkat, beliau membuat rayuan supaya pihak terbabit menahan diri bagi mengelak sebarang tindakan yang mungkin mendalamkan lagi penderitaan rakyat Syria.

“Tindakan ini menekankan kepercayaan saya bahawa tiada cara lain menyelesaikan konflik kecuali menerusi satu penyelesaian politik,” katanya.

Majlis Keselamatan dijangka bertemu jam 11.30 pagi (1530 GMT) atas permintaan Bolivia, untuk mendengar taklimat daripada ketua politik PBB, Jeffrey Feltman. Duta AS Nikki Haley, yang memegang kerusi majlis bulan ini berkata, perbincangan akan diadakan dalam sesi terbuka walaupun permintaan Bolivia secara tertutup.

“Mana-mana negara yang memilih mempertahankan pembunuhan beramai-ramai rejim Syria perlu berbuat demikian di hadapan umum, supaya dunia mendengarnya,” kata Haley dalam satu kenyataan.

Russia juga menuntut mesyuarat tergempar selepas dengan berang mengutuk tindakan ketenteraan itu sebagai ‘pencerobohan ke atas sebuah negara berdaulat.’

Presiden Donald Trump pagi semalam mengarahkan serangan peluru berpandu ke pangkalan udara Syria sebagai tindak balas serangan senjata kimia di bandar pemberontak yang meragut 86 nyawa. – AFP

Berita Harian

Comments