Home Antarabangsa Serangan ransomware diperhebatkan minggu ini

Serangan ransomware diperhebatkan minggu ini

SHARE
Serangan ransomware itu meminta pengguna buat bayaran guna mata wang maya Bitcoin jika mahu akses semula fail yang dikunci.

LONDON – ENGLAND. Pakar keselamatan memberi amaran serangan siber global menggunakan virus digelar ransomware bermula Jumaat lalu mungkin diperhebatkan minggu ini.

Kebanyakan pengguna terutamanya di Asia telah log off (daftar keluar) sebelum perisian berbahaya atau malware itu mula menyerang sistem komputer di seluruh dunia.

Jadi, kesan sebenar serangan siber itu mungkin muncul, semalam selepas pengguna kembali log in (daftar masuk).

Menurut pakar, varian peniru perisian malware di sebalik serangan itu telah mula merebak.

“Ia kini di dalam gelombang kedua. Penggodam telah melancarkan varian baharu malware seperti yang kita jangkakan. Ia dijangka lebih hebat,” kata jurucakap syarikat keselamatan siber, Comae Technologies berpusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Matthieu Suiche.

Sementara itu, Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain memaklumkan tiada tanda serangan baharu namun ia memberi amaran malware tersebut mungkin boleh merebak dalam rangkaian.

“Ketika ini, kita sedang berdepan ancaman yang semakin meningkat. Jumlah sistem yang terjejas mungkin bertambah apabila individu kembali bekerja pada pagi Isnin,” kata Pengarah Eksekutif Agensi Polis Eropah, Europol, Rob Wainwright.

Difahamkan, serangan ransomware gelombang pertama itu telah menjejaskan 200,000 komputer di lebih 150 negara, lapor Agensi.

Sinar Online

Comments