Home Tempatan Sepanjang 10 Tahun, Tiada Usul Perkasa Syariah Islam Dalam DUN Selangor –...

Sepanjang 10 Tahun, Tiada Usul Perkasa Syariah Islam Dalam DUN Selangor – Datuk Sulaiman Abd Razak

SHARE

Shah Alam, Selangor: Kerajaan Selangor di bawah pimpinan PKR tidak pernah membentangkan walau satu usul demi memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah di negeri ini, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak.

“Setakat saya menjadi ADUN selama hampir 10 tahun di bawah Pakatan Rakyat, belum ada satu pun usul mengenai agama (Islam) yang dibawa oleh kerajaan (pimpinan PKR) yang pernah dibentangkan di Dewan (DUN), khasnya berhubung dengan pemerkasaan institusi kehakiman syariah,” ujar beliau.

Baru-baru ini Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) dari parti DAP, Yeoh Tseow Suan atau lebih dikenali sebagai Hannah Yeoh menolak usul untuk memperkasakan Mahkamah Syariah Negeri Selangor buat kali kedua.

“Ini kali kedua usul (yang dipinda sedikit) untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah Negeri Selangor ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN).”

Tambahnya lagi, kali pertama usul berkenaan ditolak adalah pada tahun 2016 atas sebab Mahkamah Syariah Selangor sudah diperkasakan dan usaha itu sentiasa  berterusan melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelantikan hakim wanita Mahkamah Tinggi Syariah yang pertama di Malaysia.

Kali ini, ia ditolak dengan alasan perkara itu boleh dibangkitkan sewaktu perbahasan belanjawan negeri 2018.

Menurut Datuk Sulaiman lagi, sekiranya suatu usul itu tidak boleh dibahas maka kesudahannya adalah ianya tidak akan mendapat sokongan.

“Bila tiada usul (Islam) yang boleh dibahas dalam usul, (maka) tidak ada perbahasan, tidak ada sokongan, dan tidak ada ulasan daripada kerajaan negeri.”

“Jika usul kali kedua ini diterima, sekurang-kurangnya ada tiga perkara utama perlukan perhatian. Pertama cadangan untuk menambahbaik struktur Mahkamah Syariah di Negeri Selangor daripada sekarang ini tiga peringkat, kepada lima peringkat. Ini memberi lebih keadilan kepada mereka yang didakwa, di samping menaik tarafnya sama prestij dengan mahkamah sivil,” ujar beliau.

“Yang kedua, kita nak melihat bagaimana boleh pegawai atau hakim diguna sama di negeri-negeri lain. Sekarang ini, jawatan hakim syariah ini tidak boleh digunakan di semua negeri. Hakim Syariah di Selangor, tak boleh jadi Hakim Syariah di Terengganu.”

“Kita membawa usul (perkasa institusi Mahkamah Syariah Selangor)  kerana ada banyak kes-kes yang tertangguh di Selangor melibatkan perceraian, fasakh, faraid sehingga menyebabkan Mahkamah Syariah Selangor terpaksa bersidang pada hujung minggu dan hingga waktu malam. Hal ini kerana kita kekurangan Hakim Syarie’ dan infrastruktur untuk mahkamah-mahkamah (Syariah),” tambah beliau.

“Yang ketiganya adalah kita nak melihat sistem saraan hakim-hakim. Setakat ini Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hanya sekadar JUSA C.”

Kata Datuk Sulaiman lagi, beliau berharap agar usul yang berlandaskan aspirasi rakyat ini dapat dibahaskan sehingga menjadi enakmen di peringkat negeri Selangor. Namun, beliau hampa apabila kerajaan pimpinan PKR yang mana Speakernya (DUN) daripada parti DAP menolaknya.

Comments