Home Tempatan Seolah-olah menjual agama – Daud

Seolah-olah menjual agama – Daud

SHARE

Pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, tiada keperluan bagi seseorang itu mengambil upah untuk berdoa walaupun dia kerap berulang-alik ke kota suci umat Islam berkenaan.

Katanya, umat Islam sememangnya digalakkan mengirim doa kepada sesorang yang ingin menunaikan ibadah di Mekah terutama bagi mereka yang tidak mampu pergi ke sana namun, perkara tersebut perlu dilakukan atas kerelaan individu berkenaan.

“Menyuruh orang berdoa itu memang baik. Terdapat hadis yang menggalakkan orang ke Mekah untuk berdoa namun tindakan individu yang mengambil upah berdoa itu ‘sangat tidak betul’ dan menjual agama.

“Bertaubatlah bagi individu yang menjalankan perkhidmatan tersebut. Adalah sangat dilarang kita mengutip duit dengan cara begitu apatah lagi menjadikan kerap berulang-alik ke sana sebagai alasan bagi meraih keuntungan,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Perkhidmatan kiriman doa secara komersial menjadi tular di laman sosial apabila menawarkan pelbagai pakej ‘upah’ berdoa di Mekah dengan mengenakan bayaran serendah RM250 sehingga RM2,500.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan individu berkenaan yang dilihat cuba mempergunakan agama bagi meraih keuntungan peribadi.

Mengulas lanjut, Md. Daud yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours. berkata, doa lebih mujarab di depan Kaabah apabila individu yang melaksanakannya penuh dengan keimanan, mempunyai jiwa yang bersih dan iman tinggi untuk menjadi tetamu Allah.

“Tapi biarlah bukan dengan cara upah. Bila diupah, tidak lengkap kerana dilakukan hanya berlandaskan wang semata-mata. Saya pernah diberi wang untuk berdoa untuk beberapa individu namun wang tersebut tidak digunakan untuk kepentingan peribadi sebaliknya disedekahkan serta diadakan kenduri di Mekah.

“Jika doa disertakan bersama badal haji dan umrah tidak menjadi masalah dan dilakukan secara percuma bersama ibadah berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Utusan Malaysia

Comments