Home Tempatan Semoga pembentangan RUU 355 diluluskan

Semoga pembentangan RUU 355 diluluskan

SHARE
Sumber Gambar: ISMA

ESOK, Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual membentangkan usul persendirian berkaitan dengan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat selepas selesai pembentangan semua Rang Undang-Undang Kerajaan.

Pembentangan rang undang-undang itu amat dinanti-nantikan selepas RUU 355 itu ditentang hebat oleh pihak tertentu termasuk sekelompok orang Islam sendiri sehingga membuatkan seluruh umat Islam bersatu dengan menjadikan Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, 18 Februari lalu sebagai simbolik perjuangan.

Semuanya ini bertujuan memartabatkan lagi kedudukan mahkamah syariah yang sebelum ini bidang kuasa serta hukuman yang diperuntukkan kepada mahkamah itu terlalu terhad dan tidak sepadan dengan beratnya jenayah syarie yang dilakukan seperti murtad, berzina, minum arak dan berjudi. Langkah itu juga sejajar de­ngan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang kita maklum, kali terakhir pindaan Akta 355 dibuat ialah pada 1984 iaitu peningkatan dari penjara enam bulan dan denda RM1,000 kepada maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan ditambah dengan enam kali sebatan syarie.

Dengan kadar hukuman yang disifatkan sebagai tidak menggerunkan itu, amat sukar seseorang yang terbukti bersalah oleh pihak mahkamah insaf atas perbuatannya.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada beranggapan mahkamah syariah adalah mahkamah kelas kedua. Masakan tidak jika dibandingkan bidang kuasa serta kadar hukuman yang diperuntukkan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah boleh diumpamakan langit dan bumi. Justeru, pembentangan RUU 355 boleh kita katakan sebagai langkah permulaan untuk meluaskan lagi bidang kuasa mahkamah syariah melalui peningkatan kadar hukuman penjara, denda dan rotan syarie.

Penulis yakin dengan kadar hukuman lebih tinggi dan munasabah mampu memberi keinsafan serta membentuk akhlak yang baik kepada pesalah dengan tidak mengula­ngi kesalahan sama selain boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat sekeliling. Inilah roh sistem perundangan Islam. Malah jika dirujuk tujuan pelaksanaan undang-undang Islam dalam al-Quran dan Hadis, matlamatnya adalah untuk mencegah dan mendidik manusia agar menjadi insan lebih baik hingga ke akhir hayat mereka.

Ruangan Kalam sebelum ini juga pernah menyentuh tentang usia Akta 355 yang telah mencecah 33 tahun iaitu selepas dihitung tahun terakhir pindaan akta itu dibuat. Dengan usianya yang lebih tiga dekad itu sewajarnya transformasi perlu dilakukan sejajar dengan perkembang­an semasa. Cuma dalam usaha menjadikan RUU 355 ini sebagai kenyataan, terdapat sekelompok umat Islam liberal bangun menentang pembentangan rang undang-undang tersebut secara terbuka antaranya mengadakan perhimpunan anti RUU 355 di saat puluhan ribu umat Islam yang pro RUU 355 mengadakan perhimpunan di Padang Merbok. Syukur Alhamdulillah perhimpunan anjuran kelompok itu langsung tidak mendapat sambutan daripada umat Islam. Sungguhpun begitu, puak tersebut sehingga saat ini nampaknya masih tidak berputus asa.

Terbaharu, mereka menggesa semua Ahli Parlimen agar menolak RUU 355 selepas dibentangkan oleh Abdul Hadi, esok. Gesaan itu dibuat oleh pertubuhan yang dinamakan Bebas melalui satu kenyataan akhbar yang diedarkan kepada semua media kelmarin. Begitu juga de­ngan Kumpulan G25 yang pernah mengeluarkan kenya­taan serupa pada 6 Mac lalu.

Persoalannya, mengapa dua puak liberal ini terlalu fobia dengan pindaan RUU 355. Hanya mereka ada jawapannya. Inilah cabarannya yang terpaksa kita hadapi. Sehubungan itu, kepada semua ahli Parlimen beragama Islam sama ada BN, Pas, PKR, PAN mahupun DAP marilah sama-sama menyokong RUU 355 bagi membolehkan rang undang-undang ini diluluskan. Ketepikan ideologi politik masing-masing buat sementara demi Islam tercinta. Moga-moga usaha tersebut mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

utusan online

 

Comments