Home Tempatan Seminar di Universiti Malaya tidak Mendapat Kelulusan Jabatan Pendidikan – Dato’ Foziah...

Seminar di Universiti Malaya tidak Mendapat Kelulusan Jabatan Pendidikan – Dato’ Foziah Buang

SHARE

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menafikan dakwaan mengatakan pihaknya ada memberi kelulusan kepada MyConsti Team yang terlibat dalam penganjuran Constitutional Day 2017 di Universiti Malaya baru-baru ini kata, Pengarahnya Dato’ Foziah Buang.

Menurutnya, pihak JPWPKL telah menerima permohonan daripada Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya untuk menjemput murid-murid sekolah WPKL sempena Hari Perlembagaan di Universiti Malaya.

Beliau berkata, kebenaran untuk menjemput murid-murid diberikan berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2004: ‘Panduan Penglibatan Murid-Murid Sekolah Dalam Program atau Aktiviti Anjuran Agensi-Agensi Selain Daripada Agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia’ setelah semakan dan penelitian kepada permohonan dan kertas kerja berkenaan.

“Didapati tiada percanggahan. Ianya juga telah dirujuk kepada Unit Dasar, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Menurut Foziah, beliau hanya memberi kebenaran untuk murid-murid sekolah menyertai program dengan objektifnya memperkenalkan Fakulti Undang-Undang disamping meningkatkan minat murid-murid dengan jurusan perundangan.

“Kami dimaklumkan juga bahawa penceramah adalah daripada pensyarah-pensyarah UM dan aturcara mengikut kertas cadangan yang diberikan kepada kami,” katanya.

Beliau turut menegaskan, perlu diingat pihak JPWPKL bukan memberi kelulusan program tetapi hanya memberi kebenaran menjemput murid-murid ke program tersebut setelah mengkaji dari segi objektif-objektif program yang tidak bercanggah dari segi dasar yang dilampirkan di atas kertas yang diserahkan kepada pihaknya.

Menurutnya, tujuan JPWPKL jelas adalah untuk memperkenalkan persekitaran Fakulti Undang-Undang bagi menarik minat murid-murid mempelajari undang-undang di peringkat universiti pada masa hadapan.

“Kesimpulannya JPWPKL tidak langsung terlibat dengan Constitutional Day 2017 anjuran UMmyconsti Team,” katanya.

Penganjuran program Constitutional Day 2017 oleh UMmyconsti Team sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila ada antara speaker yang dijadualkan untuk dijemput, merupakan aktivis-aktivis pertubuhan yang pernah terlibat dengan NGO-NGO yang pernah mendapat bantuan pendanaan negara asing.

Malah, menurut berita awal yang disiarkan akhbar The Sun, pihak penganjur turut membenarkan NGO Lawyers For Liberty dan SUARAM mengadakan pameran semasa program berlangsung.

Berkenaan dengan kontroversi penganjur yang menyatakan program tersebut mendapat kelulusan JPWPKL, Dato’ Foziah Buang menyatakan bahawa pihak beliau telah meminta pihak penganjur program berkenaan menghantar laporan secepat mungkin kepadanya bagi membuat semakan berhubung isu berbangkit berkenaan.

“Itulah, saya minta laporan dengan penganjur dan pihak urusetia berjanji akan menghantar laporan pada saya secepat mungkin,” katanya.

Comments