Home Tempatan Semarakkan nilai harmoni, ketepi perbezaan

Semarakkan nilai harmoni, ketepi perbezaan

SHARE

KUALA LUMPUR 24 April – Keharmonian negara mampu dipertahankan apabila semua kaum di negara ini berusaha menyemarakkan nilai-nilai harmoni dan mengetepikan segala perbezaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepelbagaian kaum yang kaya dengan adat resam, budaya dan bahasa masing-masing di negara ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah apabila masing-masing saling menghargai.

“Kerajaan sentiasa menghargai perbezaan budaya dan agama setiap masyarakat di negara ini, justeru kita perlu bersama-sama juga mengetepikan jurang yang wujud antara satu sama lain.

“Usaha untuk mewujudkan keamanan itu termasuk menolak fahaman ekstremis agama sama ada Islam, Hindu, Buddha dan Kristian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Ugadi 2017 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala.

Turut hadir, Presiden myPPP yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan, Tan Sri M. Kayveas dan Presiden Persatuan Telugu Malaysia, Datuk Dr. Achaiah Kumar Rao

UTUSAN ONLINE

 

Comments