Home Tempatan Selangor Paling Banyak Kes Luar Tabii

Selangor Paling Banyak Kes Luar Tabii

SHARE

Kuala Lumpur – Selangor mencatatkan jumlah yang paling tinggi berlakunya kes penderaan seksual luar tabii. Demikian, menurut Statistik PDRM pada tahun 2010 sehingga Mei tahun 2017 yang dibentangkan Dato’ Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim di Dewan Rakyat pada 27 Julai 2017.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat prihatin dan memandang serius akan kes penderaan ke atas kanak-kanak yang merupakan aset penting yang bakal mencorakkan masa hadapan negara kita.”

Statistik yang dibentangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat itu juga menunjukkan Johor dicatatkan sebagai negeri yang paling banyak rekod kes rogol dan Sabah tertinggi dari segi kes sumbang mahram.

Bilangan dan peratus kes yang dilaporkan ialah sejumlah 13,272 kes (59.7%). Manakala kes sumbang mahram pula ialah sebanyak 1,796 kes (8.07%). Luar tabii 1,152 kes (5.18%) dan cabul sebanyak 6,014 kes (27.04%). Menurut Menteri lagi, kes rogol adalah merupakan kategori kes paling tinggi berlaku terhadap kanak-kanak yang dilaporkan kepada PDRM.

“Kebanyakan pelaku bagi kes-kes yang saya sebut di atas adalah lelaki dan mangsanya pula adalah perempuan.”

“Berdasarkan statistik mengikut negeri pada tahun 2010 hingga bulan Mei tahun 2017, negeri Johor mencatatkan bilangan kes rogol paling tinggi iaitu sebanyak 2,089 kes atau 15.73 peratus. Seterusnya bagi kes sumbang mahram, negeri Sabah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 263 kes atau 14.64 peratus. Manakala negeri Selangor mencatatkan jumlah yang paling tinggi berlakunya kes luar tabii dan kes cabul iaitu masing-masing mencatatkan 235 kes atau 20.39 peratus dan 1,052 kes, 17.04 peratus bagi kes cabul dan di dalam sepanjang tempoh tersebut. “

Menurut Dato’ Sri Hajah Rohani, Kementerian beliau bersama agensi-agensi di bawahnya, serta kerjasama dengan agensi-agensi lain yang berkaitan telah mengambil langkah-langkah melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan penggubalan dasar dan perundangan, penyediaan perkhidmatan sokongan serta pelaksanaan program advokasi.

Dato’ Sri Hajah Rohani turut menjelaskan antara usaha-usaha yang telah dijalankan adalah pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak Tahun 2001 yang kini dikenali sebagai Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Tahun 2017. Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak, program advokasi, kempen keselamatan kanak-kanak di sekolah yang dinamakan Sahabat Bijak, Kursus Pra Perkahwinan Smart Start, Program Keluarga@Kerja, Parenting@Work, Kursus Ilmu Keluarga@LPPKN dan Program PEKERTI@Sekolah. Begitu juga dengan pengwujudan Talian Kasih 15999 dan juga Childline.

Comments