Home Tempatan Selami sejarah perundangan, Perlembagaan

Selami sejarah perundangan, Perlembagaan

SHARE

Pelbagai isu perundangan, hak asasi manusia, kedaulatan Islam, kenegaraan, hubungan antara kaum, pendidikan dan pentadbiran yang muncul dan berlegar dalam kalangan masyarakat hari ini amat berkait rapat dengan isu Perlembagaan. Isu ini pula asas perbincangan dan titik perbahasannya ialah tafsiran kepada fasal dan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Satu fakta yang perlu diterima oleh semua, Perlembagaan Persekutuan ini wujud atas kuasa kedaulatan dan persetujuan Raja-Raja Melayu. Maka, atas asas inilah sejarah perundangan negara dan Perlembagaannya perlu difahami dan ditafsirkan. Bermula dengan keluaran ini, penulis akan berkongsi pemikiran berkait dengan konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut perspektif watan.

Dari sisi Perlembagaan Persekutuan, konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu boleh dilihat dalam Perkara 181, 3, 32, 37 dan 39 Perlembagaan Persekutuan. Konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu amat penting untuk menghuraikan prinsip perundangan dan sistem politik tanah air kerana ia terbit dalam kerangka itu.

Kedaulatan diterjemahkan daripada istilah ‘sovereignty’ menurut LB Curson bermaksud, ‘political and legal concept relating to ultimate authority in a state.’ Justeru, Ittihad akan membicarakan isu-isu berkait konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu dari sudut watan, berbeza daripada pendekatan popular yang digunakan pada hari ini. Pemikiran mengenai konsep kedaulatan diyakini dapat menghurai dan menjawab banyak persoalan yang menyentuh prinsip perundangan dan sistem politik semasa negara kita.

‘Perlembagaan Melaka Tua’

Justeru, bagi keluaran ini, Majlis Ittihad Ummah (Ittihad) mengajukan sebuah pemikiran bertajuk ‘Perlembagaan Melaka Tua’. Perlembagaan mengikut takrifan Hood Philip dan Jackson, ‘the system of laws, customs and conventions which define the composition and powers of organs of the state, and regulate the relations of the various state organs to one another and to the private citizen.’

Perlembagaan menetapkan pemerintahan bagi sesebuah negara; siapa yang akan memerintah termasuklah mekanisme bagi pelantikan pemerintah, penentuan fungsi kuasa negara dan penjelasan bagaimana kuasa negara itu dilaksanakan.

Tun Mohd Salleh Abas berpendapat sebuah Perlembagaan adalah suatu suratan atau suratcara mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi menubuhkan sebuah negara moden. Undang-undang tertinggi inilah yang menjadi punca bagi semua undang-undang, sama ada yang sudah ada atau akan dibuat. Semua undang-undang lain hendaklah tidak bertentangan dengan Perlembagaan; kerana jika bertentangan terbatallah undang-undang itu.

Perlembagaan cermin ketatanegaraan

Bagaimanapun, undang-undang Perlembagaan itu tidak semestinya terkandung dalam sebuah Perlembagaan bertulis. Sebagai contohnya, Britain mengikut De Smith mempunyai sebuah Perlembagaan kerana ia mempunyai satu sistem tetap kerajaan, dengan sebuah undang-undang kompleks yang menjelaskan kandungan, fungsi dan hubung kait antara institusi kerajaan dan menggariskan hak dan tugas orang yang diperintah.

Kerajaan dalam pemikiran orang Melayu menurut Milner adalah ‘di dalam kondisi mempunyai raja’. Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid dalam artikelnya bertajuk Kerajaan Melaka Dalam Hubungan Antarabangsa merumuskan bahawa berdasarkan ulasan Tome Pires dan Duarte Barbosa mengenai Melaka sebagai pusat perdagangan yang besar, Melaka pastinya sudah mempunyai satu sistem pemerintahan berkesan dan dasar-dasar baik lagi munasabah.

Ringkasnya, sesebuah kerajaan yang wujud walaupun beribu-ribu tahun dahulunya pasti sudah mempunyai Perlembagaannya tersendiri. Perlembagaan yang wujud dalam sesebuah kerajaan itu dapat diandaikan mempunyai peraturan yang cukup untuk mengurus dan mencerminkan ketatanegaraannya.

Makalah ini mengemukakan analisis mengenai Perlembagaan Melaka Tua. Melaka Tua yang dimaksudkan di sini adalah satu tempoh dari zaman penubuhan Kerajaan Melayu Melaka sehingga Raja Melaka yang pertama memeluk agama Islam. Tempoh itu diadakan untuk menjelaskan konsep kedaulatan dan prinsip pemerintahan sebelum Islam diterima sebagai undang-undang watan (law of the land) bagi Kerajaan Melayu Melaka. Analisis mengenai Perlembagaan Melaka Tua di sini disoroti melalui sejarah perundangan Melaka Tua.

Menurut kajian Buyong Adil, Sang Sapurba seorang Raja Palembang yang disebut dalam Sejarah Melayu telah mengambil alih pemerintahan daripada Demang Lebar Daun. Sang Sapurba berasal daripada raja-raja keturunan ‘Maharaja Gunung’, iaitu Raja Shailendra. Perkataan ‘Shaila’ berasal daripada bahasa Sanskrit bererti ‘gunung’ atau ‘bukit’, ‘Shailendra’ ertinya ‘raja-raja gunung’.

Sejarah Melayu jadi rujukan

Berdasarkan pengamatan oleh Buyong Adil, ada kebarangkalian besar Sang Sapurba dan Srimat Tri Buana Wanaraja Mauli Warmadewa yang disebut oleh Prasasti Padang Roco bertarikh 1286 adalah individu sama. Prasasti Padang Roco mencatatkan Srimat Tri Buana Wanaraja Mauli Warmadewa sebagai seorang Raja Melayu yang berpusat pemerintahan di Dharmasraya.

Sumber Sejarah Melayu dan sumber primari lain mencatatkan asal usul Parameswara atau dikenali juga sebagai Raja Iskandar Shah seperti berikut; Sang Sapurba Seri Teri Buana (Sang Nila Utama) – Raja Singapura 1300-1348 Paduka Seri Pikrama Wira 1348-1363 Seri Rana Wikerma 1363-1376 Paduka Seri Maharaja 1376-1389 Permaisura (Iskandar Shah); (i) di Singapura 1389-1392 (ii) di Muar 1392-1394 (iii) di Melaka 1394-1414.

Dari sudut perundangan, Perlembagaan Melaka Tua adalah bersumberkan adat Melayu dan wa’adat Sang Sapurba. Jelani Harun menyatakan undang-undang Melayu dikenali dengan adat Melayu kerana ia berasal-usul daripada masyarakat yang zaman berzaman mendiami Tanah Melayu atau Alam Melayu. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka adalah dua adat Melayu yang awal, tiada kaitan atau pengaruh adat Datuk Ketemenggongan dari Minangkabau.

Adat Melayu bertulis boleh didapati dalam Kanun Melaka, yang merakamkan evolusi perundangan pra dan pasca-Islam dalam Perlembagaan bertulis Kerajaan Melayu Melaka. Konsep perhubungan antara seorang raja dengan rakyat dalam masyarakat Melayu Tua bersandarkan pada wa’adat Sang Sapurba. Wa’adat yang masyhur itu adalah seperti berikut;

Maka titah Sang Sapurba, “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba Ke bawah Duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

Maka titah Sang Sapurba, “Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu Tuanku?.” Maka titah Sang Sapurba, “Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah,” Maka titah Sang Sapurba, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah Subhanahu Wata’ala pada segala Raja Melayu, tidak pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat atau digantung dan difadihatkan dengan kata-kata yang jahat.

Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah Subhanahu Wata’ala tiada pernah derhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.

Wa’adat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun diterima daripada zaman berzaman sebagai satu kontrak sosial antara golongan raja yang diwakili Sang Sapurba, dengan Demang Lebar Daun mewakili rakyat Melayu. Wa’adat itu menggariskan prinsip utama perhubungan antara pemerintah dengan rakyat Melayu. Prinsip itu dinyatakan seperti berikut;

a) Demang Lebar Daun mewakili rakyat bersetuju untuk membai’ahkan ketuanan Sang Sapurba dan pengganti-pengganti baginda sebagai raja dengan syarat-syarat, iaitu rakyat hendaklah dipelihara dan dibimbing oleh seorang raja; jika rakyat melakukan kesalahan, hendaklah diadili dan dihukum mengikut hukum syarak, dan raja ditegah untuk menfadihat serta membuat nista pada rakyat dengan kata-kata yang boleh mengaibkan.

b) Atas syarat yang telah dipersetujui oleh Sang Sapurba, maka rakyat dan keturunannya sebagai balasan, tidak boleh menderhaka pada raja dan penggantinya selepas Sang Sapurba walaupun seseorang raja itu berbuat zalim dan mempunyai akhlak yang buruk.

c) Jika sekiranya seorang raja mengingkari atau melakukan mana-mana tegahan di atas, maka rakyat berhak untuk membatalkan wa’adat itu.

Perkara penting selain daripada syarat termaktub di dalam wa’adat itu adalah wujudnya pensyaratan pada hukum syarak. Ini bermakna seorang raja tidak boleh menghukum sesuka hati dan kedua-dua belah pihak bersumpah untuk merelakan kafarah Allah SWT ke atas pihak yang mengingkari wa’adat di atas.

Kehadiran syarat dalam wa’adat itu khususnya pensyaratan pada hukum syarak dan sumpah kafarah merupakan elemen yang amat penting untuk menilai konsep kedaulatan yang dijunjung oleh Perlembagaan Melaka Tua. Kandungan wa’adat Sang Sapurba juga menzahirkan ciri-ciri kedaulatan seorang raja. Meskipun status seorang raja dipandang amat tinggi dan ketaatan pada raja adalah satu yang dituntut, keberadaan wa’adat itu sendiri menunjukkan bahawa kedaulatan raja dalam masyarakat Melaka Tua tidaklah mutlak dan bebas.

Ini adalah berdasarkan faktor berikut; (a) Raja tertakluk pada perjanjian (wa’adat); (b) Jika raja ingkar pada perjanjian, maka rakyat boleh mengingkari juga; (c) Raja berjanji untuk berhukum berdasarkan undang-undang dan (d) Raja bersetuju untuk menerima kafarah yang serupa dengan rakyat jika sekiranya baginda ingkar perjanjian.

Peristiwa dan kaedah pengangkatan Sang Sapurba sebagai Raja Palembang mengajukan bahawa kedaulatan terletak pada Sang Sapurba melalui satu proses delegasi daripada rakyat. Ia mempunyai sifat pengamanahan kedaulatan (sovereign trust) yang terbatas kerana kekuasaan agung yang diserahkan kepada Sang Sapurba adalah tertakluk pada wa’adat dan hukum.

Jika dilihat pada struktur politik yang terkandung dalam Kanun Melaka, jelas pemerintahan kerajaan dilaksanakan melalui permesyuaratan. Kuasa pemutus yang ada pada seorang raja itu dilaksana selepas setiap perkara dirunding terlebih dahulu. Maka baik-buruk satu dasar atau keputusan itu tergantung pada kebijaksanaan mereka yang terbabit dalam proses pembuatan sesuatu dasar, undang-undang atau keputusan tertentu.

Dalam hal ini, wa’adat Sang Sapurba dan adat Melayu sesungguhnya secara tuntas menjelaskan wujudnya satu perlembagaan yang menggariskan prinsip perundangan dan sistem politik Melaka Tua.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik, Majlis Ittihad Ummah (Ittihad)

utusan online

Comments