Home Kolumnis Selamat Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin

Selamat Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin

SHARE

“Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan atau menyerah kalah, terutama ketika di saat-saat mencabar. Saya telah memikirkan perkara ini, serta menanam keazaman pada saat mengangkat sumpah sebagai sultan. Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu.”

Inilah jawapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti yang pernah tersiar dalam sebuah portal tempatan apabila diajukan mengenai tindakan baginda yang tetap melahirkan pandangan walaupun ditohmah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj merupakan Sultan Selangor yang ke-9 dan telah memerintah negeri Selangor selama 16 tahun bermula dari 22 Disember 2001.

Diputerakan pada 11 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan putera sulong kepada Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Raja Saidatul Ihsan Binti Tengku Badar Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur dan kemudiannya berpindah ke St.John Institution, Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, baginda melanjutkan pelajaran ke Perth, Australia hingga tahun 1964 sebelum meneruskan pelajaran di England hingga tahun 1968.

Selepas kembali ke tanah air pada tahun yang sama, baginda telah berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di mana Menteri Besar ketika itu ialah Dato’ Seri Harun Idris. Baginda juga pernah berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur yang membolehkan baginda memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pentadbiran.

Sultan Sharafuddin diisytiharkan sebagai Raja Muda ketika berumur 15 tahun pada 3 September 1960. Kemudian, pada 24 April 1999, baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor selepas ayahanda baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11.

Selepas kemangkatan ayahanda baginda yang ketika itu baru dua tahun memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Sharafuddin telah dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor. Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan baginda dijalankan dengan penuh adat istiadat diraja pada 8 Mac 2003 bertempat di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Sepanjang pemerintahan, baginda dikenali rakyat sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa.

Baginda juga selalu memberikan idea yang bernas di dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan dan sentiasa menasihati rakyat agar benar-benar mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Sebagai contoh, dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, Sultan Sharafuddin bertitah dengan tegas bahawa kalimah ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus untuk umat Islam. Oleh itu, golongan bukan Islam sama sekali tidak boleh menggunakannya seperti yang telah diwartakan.

Selain itu, baginda turut menitahkan umat Islam di Selangor untuk menunaikan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) yang telah diberi tanggungjawab mengutip zakat dan mengagihkannya kepada asnaf yang layak dan mengikut syarak.

Sultan Sharafuddin juga pernah menasihatkan barisan kepimpinan negeri agar mengambil iktibar daripada keruntuhan kerajaan di waktu silam akibat kepimpinan yang lemah akhlak, lemah iman dan amalan serta gagal membendung amalan rasuah.

Baginda pernah menulis sebuah buku coffe table bertajuk “A Fulfilment” yang khusus menceritakan mengenai Masjid Istana Diraja di Istana Alam, Shah Alam. Bahkan, baginda juga merupakan antara individu penting yang terlibat dalam penghasilan buku ‘Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress’ yang mengumpulkan lebih daripada 160 koleksi peta yang dimiliki oleh baginda sendiri dan Datuk Richard Curtis.

Buat penutup kata, bersempena dengan hari keputeraan Sultan Sharafuddin yang ke-72 tahun ini, marilah sama-sama berpegang kemas dan menghayati kata-kata nasihat baginda mengenai Islam dan Melayu di Malaysia yang pernah dititahkan suatu ketika dahulu;

“Saya ingat orang dulu-dulu, fikiran mereka lebih tajam. Mereka mahukan bangsa Melayu mesti beragama Islam. Terdapat tiga definisi mengenai orang Melayu, beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Itu ciri-ciri orang Melayu, tetapi kenapa? Dahulu datuk nenek kita memasukkan perkara ini dalam perlembagaan, kerana tidak mahu orang Melayu senang-senang tukar agama, itu perkara yang sangat penting.”

“Kenapa orang dulu-dulu letakkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Ini kerana orang dulu-dulu cuba memelihara orang Melayu, kerana mereka tahu di negara ini terdapat berbilang bangsa dan agama.”

Rujukan:

1. Durant F & Richard Curtis. Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress The Collections of H.R.H. Sultan Sharafuddin Idris Shah and Dato’ Richard Curtis. Jugra Publications, Singapore, 2013.

2. http://www.selangor.gov.my/index.php/pages/view/77

3. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1122&pub=Agongmangkat&sec=Berita&pg=be_15.htm

4. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0308&sec=Laporan_Khas&pg=lk_02.htm

5. http://ww1.utusan.com.my/utusan/rencana/20121209/re_06/janji-sultan-sharafuddin

6. http://www.zakatselangor.com.my/terkini/sultan-selangor-titah-tunai-zakat-di-zakat-selangor/

7. http://www.sinarharian.com.my/nasional/kalimah-allah-selangor-akur-titah-sultan-1.119566

8. http://www.utusan.com.my/mobile/berita/nasional/jangan-cetus-kekacauan-gugat-kestabilan-sultan-selangor-1.418860

9. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm

10. https://www.thestar.com.my/news/nation/2012/02/21/french-honour-for-sgor-sultan/

Comments