Home Tempatan Sekurang-kurangnya Saya Islamkan Suami, Dan Pimpin Solatnya Melalui Skype – Nik Elin...

Sekurang-kurangnya Saya Islamkan Suami, Dan Pimpin Solatnya Melalui Skype – Nik Elin Nik Rashid

SHARE

Putrajaya: Si suami lebih selesa sekiranya Nik Elin Nik Rashid mengimamkannya solat, meskipun telah diajarkannya solat berulangkali, terang Nik Elin Nik Rashid. Menurutnya lagi, beliau juga kerap memimpin solat suaminya secara ‘video conferencing’ melalui aplikasi Skype sewaktu suaminya berada di luar negara.

Nik Elin Nik Rashid tampil memberi penjelasan sebagai respon terhadap tindak balas orang ramai terhadap pendiriannya dalam artikel “Saya Jadi Imam Solat Suami Saya – Nik Elin Nik Rashid.”

Nik Elin berkata, “Saya rasa adalah memalukan membaca komen semua yang mengutuk saya manakala saya telah membawa bukan saja seorang ini masuk Islam, tetapi juga lelaki lain masuk Islam.

“Bagi saya, suami saya mualaf, asalnya Katolik. Beliau tidak dapat membaca Al Fatihah sekalipun,” kata beliau.

“Saya selalu mengajarnya solat. Tetapi dia lebih selesa saya yang mengimamkannya. Banyak kali walau dia berada di luar negara, dia akan “Skype” dengan saya untuk saya membacakan ayat-ayat dalam solat. Jadi dia solat secara “video conferencing”,” tambahnya lagi.

Menurut Nik Elin, kecenderungan suaminya yang lebih selesa untuk diimamkan oleh isterinya adalah “lebih baik” daripada mereka yang lahir daripada keluarga yang beragama Islam namun mengabaikan solat 5 waktu sehari semalam.

Beliau berkata, “Ini adalah lebih baik dari ramai orang yang sedia Islam yang mengabaikan solat 5 waktu. Bagi saya, solat 5 waktu (atau 3 jika musafir) adalah lebih baik dari tidak solat langsung.”

Nik Elin menegaskan bahawa adalah tidak munasabah baginya meminta lelaki lain mengimamkan suaminya setiap kali tiba waktu solat fardhu, lebih-lebih lagi untuk solat fardhu Subuh meskipun kadang-kala beliau mengaku membiarkan suaminya untuk bersolat jemaah bersama-sama lelaki lain sekiranya mereka singgah di surau ketika mereka dalam perjalanan.

Beliau berkata, “Kadang-kadang dalam perjalanan, kami akan singgah di surau dan saya akan membiarkan dia solat berjemaah menumpang mana-mana lelaki lain.”

Beliau meneruskan, “Tetapi adalah tidak munasabah saya meminta lelaki lain mengimamkan dia pada setiap 5 waktu, lagi-lagi semasa bangun pagi jam 5 pagi. Tidak praktik langsung.”

Beliau mendakwa bahawa perbuatannya mengimamkan solat suaminya adalah bertepatan dengan hak yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada seorang tokoh wanita yang bernama Umm Waraqah untuk mengimamkan solat jemaah campuran lelaki dan wanita.

“Umm Waraqah memang ada dalam kitab hadis yang menyatakan bahawa beliau semasa hidup Rasulullah saw telah diberi hak untuk mengimamkan solat jemaah lelaki dan wanita. Malah, Rasulullah saw telah melantik seorang lelaki tua untuk menjadi muazinnya. Umm Waraqah adalah seorang yang menghafal Al Quran dengan baik,” dakwa Nik Elin.

Comments