Home Tempatan Sekularisme tiada tempat di Malaysia

Sekularisme tiada tempat di Malaysia

SHARE
JITRA 31 JANUARY 2017. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Prof, Datuk Mahamad Naser Disa. NSTP/AMRAN HAMID

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Malaysia bukan berlandaskan dasar sekularisme kerana ia tidak pernah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti didakwa oleh mereka yang berfahaman Islam liberal kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Prof Datuk Mahamad Naser Disa.

Beliau berkata dakwaan tidak beasas itu sebaliknya terus dimomokkan segelintir pihak yang mengamalkan fahaman liberal Islam di negara ini.

“Anda semua tahu jika bawa balik burung merbok (tanpa kebenaran), dendanya adalah RM50,000 kalau ikut undang-undang sivil.

“Bagaimanapun, ramai tidak sedar jika anda gagal kawal ‘burung’ sendiri, dendanya berasaskan undang-undang syariah ketika ini hanya RM5,000.

“Ini semua angkara pihak yang mengamalkan dasar sekular sehingga memperlekehkan martabat Islam,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355, di Padang Merbok, dekat sini, malam ini.

Menjelaskan kiasan berkenaan, Mahamad Naser menggesa orang ramai, khususnya umat Islam menolak anasir yang mengamalkan fahaman liberal sebelum Ia semakin menular dalam kalangan masyarakat.

“Kita kena ubah pemikiran bahawa Malaysia bukan negara sekular, sebaliknya ia berteraskan syariat Islam yang terletak pada bidang kuasa Raja-Raja.

“Pelihara agama Islam daripada terus dipijak dan merempat di Malaysia dengan membuang semua ‘hantu’ ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

“Jangan cuba meracuni pemikiran umat Islam dengan fahaman sesat kerana perkataan sekularisme tidak pernah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya disahut laungan takbir peserta himpunan RUU355 yang membanjiri Padang Merbok sejak jam 2 petang.

Berita Harian

Comments