Home Pendapat Sekularisasi,liberalisasi sama bahaya

Sekularisasi,liberalisasi sama bahaya

SHARE

Salah satu daripada tiga agenda besar sekularisasi, sebagaimana dijelaskan oleh Harvey Cox (1965), adalah membuang unsur-unsur agama daripada politik (desacralization of politics). Ini kerana pengalaman masyarakat Barat terhadap percampuran antara agama dengan politik telah meninggalkan kesan yang mendalam. Pengalaman pahit ini kemudian digeneralisasikan sehingga apa sahaja bentuk percampuran agama dengan politik dianggap destruktif.

Pendekatan sekular terhadap politik ini merupakan satu daripada dua ekstrim. Ekstrim pertama adalah idea penyatuan agama dengan politik, suatu penyatuan yang meletakkan agama dalam kerangka politik. Agama dengan demikian menjadi alat kepentingan kekuasaan. Inilah yang telah berlaku di Barat pada zaman pertengahan.

Pendekatan kedua, yang merupakan timbal balik terhadap pendekatan pertama, adalah pemisahan agama daripada politik. Mereka berandaian bahawa percampuran agama dengan politik akan membawa kepada: a. tiada kebebasan dalam beragama; b. kuasa mutlak dan penyalahgunaan agama untuk kepentingan kuasa; c. memberi keistimewaan kepada satu agama sehingga  menzalimi penganut agama yang lain.  Dengan pemisahan ini maka diharapkan semua penganut agama yang berbeza-beza dapat hidup aman damai.

Kedua-dua pendekatan ini adalah pendekatan yang ekstrim. Yang pertama telah merendahkan agama menjadi alat kepentingan kekuasaan. Golongan yang mengambil pendekatan ini melihat bahawa pemerintahan teokrasi adalah yang terbaik kerana pemimpin mendapat mandat langsung daripada Tuhan dan golongan agama yang berkuasa adalah orang-orang yang berbicara atas nama Tuhan.  Padahal Tuhan tidak pernah memberi mandat kepada mereka untuk berbicara atas nama Tuhan. Golongan kedua  telah menyempitkan agama menjadi terhad kepada ritual dan kerohanian yang tidak ada hubungan langsung dengan pelbagai aspek kehidupan manusia. Dan lebih parah lagi apabila mereka mengeneralisasikan kesilapan yang dilakukan oleh gereja di zaman pertengahan kepada semua agama tanpa melihat kepada konteks sejarah dan pengamalan yang berbeza setiap agama besar dunia.

Pendekatan ekstrim hanya membuahkan ekstrimisme. Ekstrimisme liberal tidak kurang bahayanya berbanding ekstrimisme radikal. Negara liberal adalah negara bebas pengaruh agama; negara yang memberi kebebasan untuk mengamalkan aktiviti songsang dan tidak bermoral seperti pelacuran dan LGBT. Akibatnya aktiviti tidak bermoral ini berleluasa dan sebarang cubaan untuk melakukan Amar ma’ruf nahi munkar akan dianggap satu kesalahan. Secara tidak langsung orang Islam dipaksa untuk tunduk kepada ideologi sekular dan liberal dan dilarang untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap. Kita percaya, berdasarkan ayat al-Qur’an (2:256), bahawa sebarang bentuk paksaan dan penindasan perlu dihapuskan; sama ada paksaan untuk beragama mahupun paksaan untuk tidak beragama (tidak ikut agama).

Agama Islam bukan alat dan bukan juga satu bahagian kecil dalam kehidupan manusia. Islam adalah al-din, panduan hidup dan cara hidup yang lengkap, agama tanzil yang murni datang daripada Allah, yang sumber-sumber utamanya terpelihara tanpa campur tangan manusia. Tidak seperti gereja di zaman pertengahan, misi ulama bukanlah memerintah dan mendirikan negara teokrasi tetapi untuk mendidik dan memberi bimbingan, termasuk kepada pemimpin dan bakal pemimpin.  Ajaran Islam yang mengandungi semua aspek kehidupan, termasuk politik dan perundangan, meletakkan tanggungjawab setiap Muslim untuk melaksanakan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupannya.

Islam mengajarkan bahawa pemimpin adalah khadim (yang berkhidmat) dan wakil yang dilantik oleh rakyat. Pemimpin bukan wakil Tuhan, son of heaven, atau apapun tempat istimewa dan kudus yang palsu. Pemimpin hanyalah zillullah fi al-ard (bayang-bayang Allah di muka bumi). Sebagai bayang sudah tentu ia mestilah sentiasa mengikuti yang empunya bayang iaitu Allah SWT: tidak sesekali menyalahi perintah Allah untuk berlaku adil dan bersifat  kasih sayang kepada setiap rakyatnya hatta kepada orang yang dimusuhi (surah al-Ma’idah: 8).

Alam Melayu adalah Darul Islam. Sejak hampir seribu tahun lamanya sistem pemerintahan dan sistem perundangan yang diamalkan adalah sistem Islam. Sehingga kini bekas-bekasnya masih dapat dilihat pada undang-undang tubuh negeri di Johor, Selangor, Terengganu dll.  Kerana itu sumpah Yang Di-Pertuan Agong mengekalkan perkataan Wallahi, wabillahi, watallahi, dan berjanji untuk sentiasa memelihara Islam. Dapat disimpulkan bahawa sifat keIslaman Tanah Melayu masih kekal dan sifat kesekularannya tidak pernah dominan.

Karya Raja Ali Haji (1873), yang merupakan negarawan sekaligus Mufti kerajaan Riau Lingga, adalah bukti bahawa kerajaan Islam tidak seperti yang digambarkan kelompok sekular-liberal. Raja Ali Haji menulis dua buah buku ilmu politik dan ketatanegaraan (Thamarat al-Muhimmah) dan satu buah karya sejarah (Tuhfat al-Nafis) yang menerangkan bahawa sistem pemerintahan Islam bukan sistem yang absolutis, teokratik dan kuku besi. Dalam buku ketatanegaraan ini juga Raja Ali Haji memberi jawapan terhadap persoalan integriti dan apa yang perlu dilakukan oleh semua pihak bagi memastikan pemerintahan yang adil dan bijaksana dapat direalisasikan.

Keadilan dalam Islam tidak sinonim dengan  kesamarataan (equality), keperluan majoriti rakyat tidak boleh disamakan dengan keperluan 10% rakyat. Sebagaimana minoriti Islam di negara-negara Barat terpaksa akur dengan sistem sekular dan liberal, demikian juga sewajarnya  minoriti bukan Islam di negara-negara Islam perlu akur dengan kehendak majoriti yang mahukan pemerkasaan mahkamah Shari’ah dan  diwujudkannya institusi-insititusi Islam seperti JAKIM.

Tuduhan bahawa sistem pemerintahan Islam tidak memberikan kebebasan terhadap kaum minoriti bukan Islam adalah palsu. Rasulullah saw memberi amaran tegas terhadap sebarang penindasan apalagi sampai menafikan kebebasan masyarakat minoriti dalam beragama dan aktiviti sosial serta ekonomi.

Kesilapan memang ada dalam pengamalan pemerintahan Islam, tidak terkecuali negara yang mengamalkan sistem liberal, namun kesilapan orang Islam tidak sepatutnya dinisbahkan kepada Islam. Kegagalan sebahagian individu dalam melaksanakan ajaran Islam tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada Islam. Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa umumnya pemerintahan Islam di alam Melayu, India, Syam, Turki dan Andalusia telah berlaku adil dan toleran  terhadap  masyarakat bukan Islam yang telah hidup aman damai bersama-sama masyarakat Islam. Semua ini amat jelas dan nyata, kerana terdapat dokumen-dokumen yang masih terpelihara, telah dikaji dan dibukukan, dan boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang cintakan kebenaran.

Professor Madya Dr. Khalif Muammar merupakan Felo Utama di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan pensyarah di CASIS, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

 

 

 

 

 

Comments