Home Tempatan Sekular Itu Suci, Agama Ciptaan Manusia

Sekular Itu Suci, Agama Ciptaan Manusia

SHARE

Pada 25 Februari 2017 bertempat di Graha Pemuda, Sri Hartamas telah berlangsung satu sesi bacaan dan ulasan buku yang bertajuk ‘Reconstruction of Religious Thought in Islam’ tulisan Muhammad Iqbal (1875-1938), seorang penyair, pemikir politik, ahli falsafah dan juga didakwa sebagai reformis Islam.

Sesi pembacaan dan ulasan ini menampilkan Dr Chandra Muzaffar, Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia yang Adil (JUST) sebagai pengulas buku tersebut dan sesi ini dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Islamic Renaissance Front (IRF) yang diketuai oleh Dr Farouk Musa. Hampir 30 orang peserta menghadiri sesi kali ini dan kebanyakannya merupakan pelajar universiti tempatan dan aktivis persatuan masyarakat sivil.

Dr Chandra Muzaffar mengulas dan membahas 3 tema utama yang didapati dalam buku tulisan Muhammad Iqbal tersebut. Yang pertama ialah Konsep Ketuhanan, kedua ialah Konsep Kekhalifahan dan yang ketiga merupakan Tanggapan Hubungan antara Islam dan Sekular dimana Dr Chandra Muzaffar memperkenalkan satu konsep yang baru iaitu ‘sekular itu suci’.

Dr Chandra Muzaffar menjelaskan bahawa Muhammad Iqbal menulis berkenaan hubungan antara sekular dan Islam dimana kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Apa-apa sahaja yang tampak sekular, pada dasarnya adalah suci (sakral). Maksudnya, pada permulaannya atau asalnya, sesuatu yang bersifat sekular itu adalah suci bergantung kepada niat, tujuan dan matlamatnya.

Contoh yang diberi adalah perbuatan seorang ibu menyusukan bayinya adalah bersifat biologikal dan itu sebenarnya adalah perbuatan bersifat sekular. Satu contoh lagi adalah air yang digunakan untuk minum dan mengambil wudhu’. Kedua-dua perbuatan tersebut adalah bersifat biologikal dan sekular.

Dikotomi atau pemisahan antara sekular dan Islam adalah tidak bermanfaat. Niatnya perlu diperhatikan terlebih dahulu kerana ia adalah suci pada asalnya atau permulaannya. Dr Chandra berkali-kali menekankan bahawa setiap perbuatan yang baik itu yang bersifat sekular, pada akarnya, ia adalah suci.

Dr Chandra juga mengulas konsep ketuhanan yang ditulis oleh Muhammad Iqbal dimana sarjana Islam tersebut menyatakan semua orang mengaku menyembah Tuhan, akan tetapi, soalannya, semua orang tersebut menyembah Tuhankah atau sebenarnya menyembah agama?

Dalam hal ini, Dr Chandra menerangkan bahawa agama itu adalah ciptaan manusia. Manusia menciptakan agama, makanya, manusia itu sebenarnya menyembah agama. Manusia telah mengkhianati Tuhan dengan perbuatan manusia menyembah agama. Manusia mengkhianati Tuhan dengan mendakwa manusia mempunyai pengetahuan akan apa itu ‘kebenaran’. Dengan kata lain, manusia ‘memiliki’ Tuhan dan tanggapan tentang apa itu sebenarnya ‘kebenaran’.

Comments