Home Tempatan Sektor Perundangan Dan Kehakiman Dikuasai Bukan Islam? – Nasruddin Hassan

Sektor Perundangan Dan Kehakiman Dikuasai Bukan Islam? – Nasruddin Hassan

SHARE

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan, di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, merakamkan keresahan umat Islam mengenai posisi 3 serangkai sektor judisiari yang kini dikuasai oleh figura-figura yang sangat meresahkan umat Islam.

Menurut beliau, 3 perlantikan yang dimaksudkan ialah perlantikan Datuk Liew Vui Keong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian hal ehwal Undang-Undang) , Perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pada 5 Jun 2018 dan terbaru perlantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai 2018.

Nasruddin juga turut membangkitkan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya memecahkan rekod perlantikan Ketua Hakim Negara dari kalangan bukan Islam sejak pertama kali ia diperkenalkan selepas pembentukan Malaysia 1963. Sebelum itu jawatan tersebut dikenali dengan gelaran Lord Presiden. Hanya Lord Presiden yang pertama terdiri dari kalangan bukan Islam iaitu Tun Sir James Beveridge Thomson.

Kerajaan PH pula menurutnya mengambil sikap memekakkan telinga dari mendengar keluhan dan teguran umat Islam. Perlantikan Ketua Hakim Negara ini menurutnya, turut bakal mengundang petaka buat umat Islam.

“Melihat 3 posisi penting ini telah diisi oleh figure yang sangat meresahkan umat Islam, maka apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang. Terutama melihat kepada rekod penghakiman Ketua Hakim Negara yang baharu ini, terdapat corak penghakiman yang tidak menyebelahi Islam.”

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada bakal berlaku krisis perlembagaan kerana  perletakan jawatan Tun Md Raus Shariff hanya akan berkuatkuasa pada 31 Julai 2018.

“Perlantikan Tan Sri Richard Malanjum semalam menjadikan kini Malaysia mempunyai 2 orang Ketua Hakim Negara sebelum berakhir 31 Julai ini. Mungkinkah juga Tun Md Raus telah dipaksa untuk membuat surat perletakkan jawatan yang baru berkuatkuasa serta merta? Jika masih kekal perletakkan jawatannya efektif pada 31 Julai, maka apakah ini suatu langkah yang berpelembagaan?”

Beliau menggambarkan situasi umat Islam semasa seperti terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya.

“Episod apa lagi yang bakal disaksikan oleh umat Islam selepas ini.  Sudahlah Islam terumbang ambing di zaman kerajan BN dahulu, ternyata kini perubahan yang dilaungkan itu rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk. Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?

Comments