Home Tempatan Seks Kanak-Kanak: 4 Buah Negara Cenderung Eksploit Kanak-Kanak Perawan

Seks Kanak-Kanak: 4 Buah Negara Cenderung Eksploit Kanak-Kanak Perawan

SHARE

“Di rantau ini (Asia Tenggara), lelaki-lelaki dari China, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam lebih cenderung mengeksploitasi perawan, terutamanya gadis berbanding lelaki-lelaki dari negara lain. (Manakala) pesalah (seks kanak-kanak) Barat pula cenderung untuk mencari kanak-kanak jalanan dan lebih cenderung mengeksploitasi kanak-kanak lelaki.”

Demikian kenyataan Pengarah Eksekutif Ecpat International, rangkaian hak kanak-kanak global yang berpusat di Bangkok, Dorothy Rozga dalam laporan “Kajian Global mengenai Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak dalam Pengembaraan dan Pelancongan di Asia Tenggara”.

“Kanak-kanak yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah amat terdedah (dengan eksploitasi seks). Pesalah seks kanak-kanak selalunya melancong dalam negara mereka sendiri atau dalam rantau ini,” ujar Rozga lagi seperti yang dilaporkan dalam The Malaysian Insight.

Selain itu menurut Rozga, berdasarkan anggaran pihak berkuasa Indonesia pada tahun 2009, lebih daripada 3,000 pelancong daripada Singapura dan Malaysia melawat Pulau Batam untuk mendapatkan servis seks setiap minggu.

“Satu pertiga daripada anggaran 5,000 hingga 6,000 orang dalam perdagangan seks di Batam adalah kanak-kanak.”

Laporan tersebut juga menyatakan, ketika mana negara Thailand, Indonesia dan Filipina sedang memerangi pelancongan seks kanak-kanak, satu kajian menyatakan bahawa perkara ini sedang meningkat di Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan Timor-Leste.

Manakala negara Malaysia, Singapura dan Brunei merupakan antara negara destinasi untuk kanak-kanak yang diseludup berakhir di tempat pelacuran.

Seks bawah umur merupakan perkara yang kontroversi di Asia Tenggara. Di Malaysia khasnya terdapat Ahli Parlimen yang membangkang perkahwinan anak-anak muda walaupun telah mencapai akil baligh, apabila masih belum menjangkau umur 18 tahun dan ke atas. Namun, Ahli Parlimen yang sama bersetuju dengan perlakuan seks bawah umur sesama pasangan atas tiket ‘sweetheart defence’.

Comments