Home Pendapat Seks Bawah Umur vs Perkahwinan Remaja

Seks Bawah Umur vs Perkahwinan Remaja

SHARE

Marianne Clark Hattingh, wakil Dana Pertubuhan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) membangkang perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak dalam lingkungan umur 9-12 tahun. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam artikelnya yang disiarkan melalui akhbar The Malay Mail Online pada 6 April 2017 bertajuk, “Child marriage is not acceptable”.

Sebenarnya, isu kebenaran perkahwinan ini merujuk kepada statutory rape, iaitu hubungan seks yang dilakukan dengan persetujuan bersama, dan bukanlah rogol seperti yang diketahui umum. Sebelum kita berbincang lebih lanjut mengenai keberdayaan bagi seseorang yang berkahwin di bawah umur, kita perlu tahu bahawa fenomena ini bukanlah sesuatu yang unik kepada Malaysia. Sebanyak 248,000 perkahwinan kanak-kanak dianggarkan berlaku antara tahun 2000 dan 2010 di Amerika Syarikat.  

Negara Amerika Syarikat hanya diambil sebagai contoh dalam artikel ini untuk menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak berlaku dan wujud di seluruh dunia.

Ceteris Paribus (dengan hal-hal lainnya tetap sama), tidak dinafikan bahawa kerisauan ini berasas apabila ia melibatkan perkembangan kanak-kanak tersebut menuju ke alam dewasa. Ramai kanak-kanak yang berkahwin terpaksa berhenti sekolah. Ini mengurangkan peluang mereka untuk mendapat pendidikan yang lebih baik demi mengubah nasib keluarga. Bagi keluarga yang hanya mempunyai anak-anak perempuan, pelajaran amat penting untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga mereka. Tahap pendidikan seseorang bukan sahaja memberi kesan terhadap individu, bahkan kepada masyarakat juga.   

Bagaimanapun, kerisauan ini tidak mencakupi realiti sebenar alam perkahwinan kanak-kanak. Hal ini kerana, tiada statistik yang relevan dalam artikel tersebut mengenai masalah untuk melanjutkan pelajaran bagi kanak-kanak yang berkahwin. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh ‘Girls Not Brides’, 60% pengantin kanak-kanak di negara membangun tidak mempunyai pendidikan yang formal. Kemungkinan besar perkara ini terjadi di dalam masyarakat mereka kerana kekurangan pendidikan. Kalau diteliti statistik berkenaan, perkahwinan kanak-kanak itu adalah lebih kerap dari kalangan mereka yang kurang berpendidikan. 

Hubung kait antara dua perkara dan akibat tidak semestinya mempunyai pertalian. Hanya kerana seseorang berkahwin di usia yang muda tidak bermaksud masa depannya gelap kerana terpaksa berhenti belajar. Sekurang-kurangnya, cadangan ini lebih bernas daripada cadangan Ahli Parlimen Kulai (DAP), Teo Nie Ching. Teo Nie Ching mencadangkan “sweetheart defence” (hujah pembelaan pasangan kekasih) yang bermaksud, perbuatan seks yang dilakukan dengan persetujuan gadis bawah umur tanpa perlu berkahwin oleh pasangan bawah umur tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Nampaknya, sesetengah orang melihat perkahwinan sebagai satu beban tanggungjawab yang perlu digalas oleh kanak-kanak. Ketahuilah bahawa, suka atau tidak, perbuatan seks itu datang bersama-sama tanggungjawab. Bagaimanakah kanak-kanak yang mengandung dan dilindungi di bawah undang-undang “sweetheart defence” dapat menjaga bayi mereka tanpa perlu menggalas tanggungjawab sebenar sebagai ibu atau bapa bayi tersebut? Ini hanya akan menjurus ke arah masalah yang lain iaitu masalah “kehamilan yang tidak diingini”. Apabila anda mempunyai anak remaja yang mengandung di luar perkahwinan, selalunya bayi yang masih kecil dan tidak bersalah itu yang akan menjadi mangsa nafsu serakah.

Ini kerana dalam keadaan tiada siapa yang mahu bertanggungjawab, kesan daripada perbuatan seks di luar pernikahan tersebut, baik yang lelaki mahupun yang gadis tidak mahu mengambil tanggungjawab membesarkan bayi yang tidak berdosa itu. Bukankah lebih bagus tanggungjawab ini dapat diberikan melalui perkahwinan? Selain itu, ibu bapa kedua-dua belah pihak juga perlu bertanggungjawab membantu dan membimbing anak-anak mereka untuk menyesuaikan diri dalam kehidupan perkahwinan.

Berdasarkan pandangan UNICEF dalam hal ini, statistik, senario, dan budaya negara perlu diambil kira. Artikel Marianne Clark Hattingh langsung tidak menyentuh kesan buruk perkahwinan kanak-kanak dalam negara seperti; berapa ramai yang meninggal dunia, berapa ramai yang melakukan pengguguran bayi, dan lain-lain. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai taraf kesihatan yang terbaik di dunia, maka tidak adil untuk menyamakan keadaan di Malaysia dengan keadaan negara luar yang kurang bernasib baik. 

Panduan dan solusi perlu diberi berdasarkan senario, nilai tempatan dan kemudahan yang disediakan. Memang mudah untuk membangkang perkahwinan kanak-kanak, tetapi siapakah yang harus bertanggungjawab atas perbuatan kanak-kanak tersebut yang masih kecil tetapi daripada segi tindakan, pada zahirnya seolah-olah sudah dewasa? Nilai liberal yang menghalalkan seks kanak-kanak, pengguguran bayi dan perbuatan lain yang tidak bertanggungjawab tidak dapat diterima di Malaysia. Seks datang bersama tanggungjawab dan semua orang termasuklah ibu bapa perlu memikul tanggungjawab kesan perbuatan anak-anak mereka.

Perkahwinan kanak-kanak boleh menyelamatkan maruah mereka yang terjerat dalam perbuatan seks sebelum kahwin dengan syarat, setiap individu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Pendidikan untuk kanak-kanak tersebut tidak perlu dihentikan. Melalui pendidikan, nasihat penjagaan kesihatan dapat diperoleh dan mereka juga dapat belajar mengenai erti tanggungjawab yang sebenar. Di samping itu, kebenaran dan larangan yang digariskan perlulah berdasarkan apa yang berlaku, serta dilihat sebagai unik dari kacamata keadilan. Kerana setiap satu yang datang membawa masalah itu adalah unik dalam caranya tersendiri. 

Comments