Home Tempatan Sekretariat UMMAT: YB Gobind Singh Deo, Sila Hormat Hak Perlembagaan Orang Islam

Sekretariat UMMAT: YB Gobind Singh Deo, Sila Hormat Hak Perlembagaan Orang Islam

SHARE

Puchong: Sekretariat UMMAT yang mewakili lebih dari 500 NGO Islam dan Melayu, telah mengadakan satu perhimpunan aman di Masjid al Husna, Puchong.

Dianggarkan seramai 100 orang telah menghadiri himpunan yang diadakan bagi menyatakan bantahan aman kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo, yang berkeras untuk membawa suara penentangan kepada usaha memperkasa Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 di Parlimen nanti.

Peserta himpunan aman tersebut kemudian bergerak menuju ke Pusat Khidmat YB Gobind Singh Deo untuk menyerahkan memorandum dengan lima tuntutan berikut supaya dihormati dan diambil tindakan oleh Ahli Parlimen tersebut :

1. Menghormati hak kebebasan beragama umat Islam di Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan tidak masuk campur di dalam perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam di Malaysia.

2. Menghentikan semua bentuk polemik berkenaan usaha perkasa mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355.

3. Menunjukkan kesungguhan Ahli Parlimen Puchong untuk menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negeri bagi Selangor dengan memberi perhatian wajar kepada usaha mengekang premis-premis judi haram, rumah urut, pelacuran serta aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan semua bentuk undang-undang yang diiktiraf di dalam Malaysia.

4. Menjunjung prinsip Keluhuran Perlembagaan di dalam Rukunegara dengan menghormati hak perlembagaan umat Islam untuk memperkasa mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355.

5. Mengambil sikap menyokong atau berkecuali dan BUKAN sikap menentang di dalam sebarang bentuk pengundian yang melibatkan kepentingan Islam di dalam Parlimen.

Memorandum disampaikan oleh Saudara Aminuddin Bin Yahya kepada wakil YB Gobind Singh Deo, En Taufik Hj Azraee, Penyelaras Parlimen Puchong.

Ucapan dibuat oleh Pengerusi Sektetariat UMMAT, Saudara Aminuddin bin Yahya. Beberapa kepimpinan NGO yang bernaung di bawah Sekretariat UMMAT seperti Presiden PERKID dan Presiden dari Alifbata Srikandi Masyhur turut berucap.

Selesai penyampaian memorandum di Pusat Khidmat YB Gobind Singh Deo, peserta bersurai dengan aman setelah membacakan tuntutan tegas pihak Sekretariat UMMAT dan wakil penduduk Islam Puchong.

Comments