Home Tempatan Sekretariat ISLAMI Sambut Positif Ucapan Tun M Di PERKIM

Sekretariat ISLAMI Sambut Positif Ucapan Tun M Di PERKIM

SHARE

KENYATAAN RASMI SEKRETARIAT ILMUWAN AHLI SUNNAH WAL  JAMAAH MALAYSIA KE ATAS UCAPAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD DI MAJLIS IFTAR PERKIM 2018.

(1) Merujuk kepada ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamed semasa ucapan beliau di Majlis Iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Putrajaya 25 Mei 2018, pihak Sekretariat Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia menyambut baik dan positif saranan Perdana Menteri untuk menyatukan semula umat Islam di seluruh negara berdasarkan persamaan bahawa majoriti umat Islam di Malaysia adalah beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, beraqidah Asya’irah wal Maturudiyah, bermazhab fekah As-Syafie dengan meraikan 3 mazhab muktabar yang lain.

(2) Pegangan tersebut merupakan pegangan umat islam sejak awal kemasukan dakwah Islam di Tanah Melayu lagi dan kemudiannya telah diakui dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu-satunya agama negara yang mana kewajiban menjaganya pada setiap masa menjadi isi kandung sumpah setiap Raja dan Sultan yang ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong bagi negara kita sejak kemerdekaan dan awal penubuhan negara Malaysia.

(3) Pihak Sekretariat Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia juga menyokong agar semua umat Islam mengutamakan persamaan tersebut berbanding perbezaan politik dan menolak budaya ketaksuban melulu demi membina semula kekuatan umat Islam di negara kita.

(4) Adalah sesuatu yang penting untuk sekalian umat Islam di Malaysia kembali bersatu dalam mendepani pelbagai cabaran dan serangan pemikiran yang semakin kuat mempengaruhi masyarakat yang dilihat mampu meruntuhkan sebuah tamadun yang bersifat Islami dan progressif yang diamalkan selama ini.

(5) Sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini membenarkan rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin melalui parti-parti yang berdaftar ketika pilihanraya akan tetapi syariat Islam lebih syumul dan utama bahkan mencantikkan lagi amalan demokrasi tersebut.

(6) Kini setelah majoriti rakyat memberikan mandat kepada kerajaan yang baru, maka adalah menjadi kewajiban agar seluruh umat Islam di negara ini untuk kembali bersatu dan bersama berjuang ke arah sebuah negara yang lebih baik dan maju dari kedua-dua sudut duniawi dan ukhrawi, material dan spiritual.

(7) Pihak Sekretariat Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia juga menyeru agar perhatian yang serius dan kerjasama erat di antara pihak kerajaan dan umat Islam dalam menyusun kembali kekuatan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan definisi yang lebih jelas dan strategi yang lebih mantap.

(8) Perkara ini menjadi semakin perlu mengambil kira fikrah-fikrah yang menyusup masuk dan mengelirukan umat Islam di Malaysia dengan pelbagai isme dan ideologi yang mungkin kelihatan halus pada awalnya, namun sekiranya dibiarkan akan menyebabkan perpecahan yang amat berat dan merugikan umat Islam secara khusus dan rakyat Malaysia secara am.

(9) Kerjasama dengan barisan NGO-NGO Ahli Sunnah Wal Jamaah dilihat antara perkara penting untuk diteruskan dan perbincangan secara tuntas perlu dilakukan di dalam merangka strategi kearah pemantapan kefahaman, pendirian dan kedudukan umat Islam.

(10) Pihak kerajaan juga wajar memberikan perhatian terhadap pandangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara kita yang jelas mempunyai kepakaran dan kematangan yang dapat membantu pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan kearah merealisasikan matlamat dalam melaksanakan Islam dalam kerangka sebenar yang adil dan seimbang serta menyerlahkan kerahmatan Islam itu sendiri kepada segenap lapisan masyarakat.

(11) Pihak Sekretariat Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia juga melihat kekuatan rakyat Malaysia secara am dan bangsa Melayu secara khusus amat bergantung kepada faktor kesatuan umat Islam di Malaysia.

(12) Oleh itu, adalah sesuatu yang wajar bahkan wajib bagi pihak kerajaan kini untuk memantapkan pendirian umat Islam dengan ilmu dan kefahaman yang betul dan jelas agar mampu membezakan di antara yang haq dan batil dan menolak sebarang bentuk serangan dari sudut fikrah dan pemikiran yang membawa kepada kekeliruan dan perpecahan.

(13) Pegangan dan kefahaman yang jelas juga perlu ke atas 4 sumber utama Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah, ijmak ulama dan qias dan bertonggakkan 3 tiang utama agama kita iaitu Iman, Islam dan Ihsan.

(14) Kehormatan dan maruah serta imej institusi-institusi Islam dan institusi beraja iaitu Majlis Raja-Raja Melayu bukan sahaja perlu dipertahankan, bahkan perlu diperkasakan dan dinaikkan imejnya di mata masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

(15) Pada hari ini dengan kemajuan teknologi maklumat dan akses tanpa batasan, kita melihat betapa Islam dihina dan dipermain-mainkan, bahkan Raja-Raja Melayu juga diremehkan bukan sahaja di kalangan rakyat bukan Islam bahkan di kalangan umat Islam sendiri yang dhaif dan naif di dalam memahami isu-isu berkaitan Islam.

(16) Pelbagai komen negatif bahkan bersifat fitnah dan hasutan serta bercanggah dengan syariat Islam dan Undang-undang negara dilontarkan dengan berani merupakan petunjuk indeks kerosakan pegangan umat Islam di negara kita.

(17) Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang kritikal dan mampu memecah-belahkan umat Islam dan berpotensi sebagai faktor keruntuhan Islam di Malaysia.

(18)Perancangan-perancangan yang teliti perlu diadakan disusuli dengan tindakan-tindakan yang pro-aktif melibatkan kerajaan Malaysia dan barisan NGO-NGO Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bergerak seiring adalah perlu dalam menyelamatkan umat Islam di negara kita.

(19) Sistem pendidikan yang berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan khazanah fiqh Asy- Syafie perlu disusun dan disampaikan dengan cara yang moden dan dapat difahami dengan baik di mana para pelajar dibekalkan dengan kebolehan untuk membentengi diri mereka daripada serangan pemikiran yang boleh merosakkan aqidah dan merosakkan jati diri mereka.

(20) Oleh itu, pihak Sekretariat Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia meminta agar kenyataan YAB Perdana Menteri  ini diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan dan jentera-jenteranya serta semua rakyat Malaysia dengan tindakbalas yang positif dan usaha-usaha yang konkrit ke arah mengembalikan kerukunan dan perpaduan di dalam negara berteraskan keadilan dan keseimbangan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah zaman berzaman menjadi benteng kental menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh mendorong keganasan fizikal mahupun persepsi.

USTAZ SYED SHAHRIDZAN SYED MOHAMED
SETIAUSAHA AGUNG

SEKRETARIAT ILMUWAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH MALAYSIA

Comments