Home Tempatan Sekolah pondok terbakar, asrama 100 pelajar musnah

Sekolah pondok terbakar, asrama 100 pelajar musnah

SHARE

KOTA BARU, 28 Feb ― Sebanyak 40 pondok kediaman pelajar di Pondok Al-Baghdadi di Jalan Jal Besar, Tumpat hangus terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Penolong Pegawai Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.25 malam dan bergegas ke lokasi bersama 10 anggota dan dua jentera.

“Pasukan penyelamat yang tiba 10 minit selepas menerima panggilan mendapati 20 unit pondok kediaman pelajar di kawasan berkenaan sedang marak terbakar.  “Api yang semakin marak kemudiannya merebak sehingga membakar baki 20 unit kediaman,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

 

Wan Baijuri berkata pondok berkenaan menempatkan seramai 100 pelajar berusia antara 15 hingga 30 tahun, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian, kesemua mangsa sedang berada di surau.  Beliau berkata pihaknya memerlukan masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran dan kerja memadamkan kebakaran diteruskan.

Katanya tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan. ― Bernama

Comments