Home Antarabangsa Sekolah dikecam larang pelajar Islam solat

Sekolah dikecam larang pelajar Islam solat

SHARE

BERLIN: Sebuah sekolah tinggi di bandar raya Wuppertal di barat Jerman mengundang kontroversi selepas melarang pelajar Islam solat secara terbuka, kerana menyifatkan ia mempunyai kaitan dengan tindakan ‘provokatif’ terhadap pelajar lain.

Sekolah itu turut dikecam kerana tidak membenarkan pelajar Islam menggunakan sejadah dan melakukan upacara keagamaan lain.

Tindakan itu mencetuskan perdebatan hangat mengenai kebebasan beragama di negara itu.

Sekolah berkenaan menghantar nota kepada kakitangannya Februari lalu, meminta mereka ‘mengenal pasti’ dan ‘melaporkan’ sebarang kes pelajar Islam bersolat di premis sekolah kepada pentadbir.

Jurucakap pentadbiran wilayah Wuppertal berkata, sebahagian guru dan pelajar menyatakan mereka tertekan dengan tindakan pelajar Islam yang bersolat di tempat terbuka.

“Sejak beberapa minggu lalu didapati semakin ramai pelajar Islam bersolat, agak terbuka, dimulakan dengan perbuatan berwuduk, diikuti dengan membentangkan sejadah dan pelajar meletakkan tubuh mereka dalam keadaan tertentu. Ia tidak dibenarkan,” menurut surat berkenaan.

Surat itu disiarkan minggu lalu di Facebook, mencetuskan reaksi marah sebahagian pengguna media sosial yang mengecam keputusan sekolah berkenaan.

Akhbar Bild melaporkan, selepas menerima kecaman, pihak berkuasa perbandaran berkata, kenyataan itu dianggap ‘tidak sesuai’ dan pihak sekolah sebenarnya bermaksud memberi peluang kepada pelajar yang terjejas berbincang mengenai kaedah penyelesaian yang paling sesuai bagi membolehkan mereka bersolat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, sekolah dibenarkan menghentikan pelajar ‘bersolat dalam cara provokatif.’ – Al Jazeera

Berita Harian

Comments