Home Tempatan Sekolah Cina galak perpaduan, kata Melayu lepasan UEC

Sekolah Cina galak perpaduan, kata Melayu lepasan UEC

SHARE

PETALING JAYA: Farah Halijah Halim, 29, berkata tidak seperti yang dikatakan sesetengah pihak, sekolah Cina mengalakkan perpaduan semua kaum di Malaysia.

Farah berkongsi pengalamannya dengan FMT, menceritakan pendidikan rendah dan menengah di sekolah Cina mengajarnya berinteraksi dengan kaum lain secara lebih baik.

“Pendidikan sekolah Cina mengajar saya nilai penerimaan. Daripada menuntut orang menghormati dan memahami keperluan saya, saya belajar bagaimana menghormati pandangan orang lain juga.”

Beliau berkata kawan-kawan bukan Melayu sensitif mengenai aspek halal dan haram dalam Islam dan benar-benar ingin tahu mengenai kehidupan orang Melayu.

“Ada yang tanya mengenai aspek agama, seperti memakai tudung dan keperluan berpuasa.”

Beliau sedar pendidikan Cina bererti mempelajari bahasa Mandarin, yang beliau boleh tuturkan dengan fasih serta bahasa Kantonis, yang dipelajari dari kawan-kawannya di sekolah.

Farah berkata semua kaum di sekolahnya bergaul secara bebas, menunjukkan salahnya penentang sekolah aliran yang mendakwa hanya sekolah kebangsaan yang berjaya mengalakkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Sama seperti sekolah antarabangsa yang mahal, bukan? Apakah itu bermakna sekolah antarabangsa tidak mengalakkan perpaduan dengan memisahkan orang kaya dan orang miskin?

“Apa buktinya sekolah kebangsaan benar-benar mengalakkan perpaduan antara kaum?

“Di Foon Yew (sekolah Cina), mereka tanam prinsip ‘warga Foon Yew’, di mana para pelajar diajar supaya tidak mendiskriminasikan kaum lain. Semua orang sama.”

Pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew, antara sekolah Cina terbesar di Malaysia, memberikan kesan mendalam, hinggakan Farah menjadi salah seorang pelajar terbaik dalam kelas 2005.

“Saya yang menyampaikan ucapan perpisahan (valedictorian) dan juga wakil kelas. Pengiktirafan itu suatu penghormatan bagi saya.

“SJKC Foon Yew sekolah yang besar dan ada lebih 1,000 lepasan pelajar tahun itu. Saya terpilih sebagai jurucakap pelajar pada majlis graduasi,” katanya kepada FMT, mengimbau kembali kenangan zaman persekolahannya dengan bangga.

Walaupun diberi penghormatan sebegitu rupa, Farah mendapati masa depan pendidikannya tampak kelam.

Alasannya? Keengganan kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolahnya.

“Saya terkapai-kapai selepas meninggalkan persekolahan kerana saya tak boleh masuk mana-mana universiti tempatan,” kata Farah kepada FMT.

Beliau mempertimbangkan kemungkinan melanjutkan pelajaran ke China, tetapi bapanya tidak bersetuju kerana Malaysia pada masa itu tidak mengiktiraf ijazah China.

Biasiswa penuh

Bagaimanapun, peluang akhirnya menjelma apabila sebuah kolej tempatan bersetuju mengambilnya.

“Ia adalah masa yang sangat mengelirukan. Saya tak tahu apa yang saya perlu lakukan. Pada masa itulah Kolej Antarabangsa Nilai, yang mengiktiraf UEC, menawarkan biasiswa penuh untuk belajar di situ.

“Saya habiskan tahun pertama di kolej, dan kemudian pindah ke Universiti Cardiff di United Kingdom, di mana saya habiskan tahun kedua dan ketiga di sana.

Universiti Cardiff antara universiti terbaik di dunia, dan Farah seorang juruaudit berkelayakan di salah satu firma audit terbesar di dunia, Ernst & Young, atau dikenali sebagai EY.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi angkara sijil UEC, Farah tidak menyesali pengalamannya, terutamanya kerana ia mempersiapkan beliau dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam hidup.

UEC masih tidak diiktiraf kerajaan persekutuan, kecuali di Sarawak dan Selangor, yang membenarkan sijil itu digunakan untuk memasuki institusi pengajian milik kerajaan negeri.

Diharapkan masa depan lepasan UEC tidak terlalu kelam kerana Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan semalam arahan kepada menteri pendidikan supaya menjalankan kajian mendalam ke atas sijil kelayakan sekolah Cina itu dan mengemukakan cadangan.

Free Malaysia Today

Comments