Home Tempatan Sekolah Aliran Bahasa Inggeris Di Setiap Kawasan Parlimen – Ahli Parlimen Sabah

Sekolah Aliran Bahasa Inggeris Di Setiap Kawasan Parlimen – Ahli Parlimen Sabah

SHARE

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya satu sekolah aliran Bahasa Inggeris perlu dibina di setiap kawasan Parlimen, bermula dengan kawasan Putatan, Sabah, demikian tuntutan yang dijangka akan dicadangkan oleh Ahli Parlimen kawasan Putatan, Datuk Dr. Makin @ Marcus Mojigoh.

“Dewan yang mulia ini hendaklah mengambil ketetapan bahawa Kerajaan haruslah dengan segera meluluskan penubuhan sekolah menengah aliran bahasa Inggeris, sekurang – kurangnya satu sekolah menengah di setiap kawasan Parlimen sebagai permulaan dan bagi kawasan Parlimen P.173 Putatan, sekolah menengah La Salle Tanjung Aru sebagai perintis.”

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) perkara ini berada pada bilangan ke 12.

Marcus Mojigoh juga memberikan contoh negara Filipina yang merupakan antara pengeksport pembantu rumah terbesar di rantau ini, kerana rakyatnya fasih berbahasa Inggeris dan mudah mendapat pekerjaan di luar negara.

“Dan mengambil maklum juga bahawa sumber tenaga manusia daripada negara-negara yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pembelajaran mereka, misalnya negara Filipina, adalah lebih mendapat pasaran tenaga kerja di peringkat antarabangsa.”

Usul ini nampaknya bakal dibawa ketika, kerajaan sedang giat berusaha untuk memperkasakan kedudukan Bahasa Melayu melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Memperkasakan Bahasa Melayu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini timbul isu berkenaan kefasihan berbahasa kebangsaan pelajar Sekolah Vernakular beberapa pihak termasuk oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri. Malah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail, pernah bertitah agar pelajar sekolah vernakular menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.

Comments