Home Tempatan Sekolah agama swasta diminta berdaftar

Sekolah agama swasta diminta berdaftar

SHARE
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PADANG TERAP: Semua sekolah agama dikendalikan pihak swasta sepatutnya tampil berdaftar dengan kerajaan bagi memastikan aspek keselamatan premis dan pelajar dapat dipertingkatkan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dengan berdaftar sama ada melalui Kementerian Pendidikan atau kerajaan negeri melalui jabatan agama Islam di negeri masing-masing, soal keselamatan dapat dipertingkat sekali gus mengelak berlakunya tragedi yang disebabkan faktor itu tidak diambil berat.

Mengulas lanjut, beliau berkata kewujudan sekolah agama swasta yang ditubuhkan tanpa pengetahuan pihak berwajib menyebabkan bantuan sukar diberikan khususnya dalam aspek keselamatan.

“Kita tak tahu…(soal bantuan) sebab mereka ini daftar pun tidak…berapa ramai pelajar yang mereka ada dan apa kurikulum yang mereka ajar…kalau mereka muncul pun pada waktu ketika ada masalah sahaja.

“Sepatutnya mereka berdaftar kalau tak daftar susahlah sebab mana-mana sekolah agama yang berada di bawah kita (kementerian) memang kita salurkan bantuan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Siam di Kampung Cheng Deng, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang meminta pengusaha maahad tahfiz menambah ciri keselamatan premis dan pelajar, sekali gus meningkatkan semula imej institusi pendidikan Islam itu.

Pada masa sama, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, semua pengusaha sekolah agama swasta sewajarnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam menjaga kebajikan pelajar, selain mempunyai pengurusan yang baik dari segala segi termasuk akademik.

Berita Harian

Comments