Home Tempatan Sedia bawa usul DPTN ke Majlis Raja-Raja – TPM

Sedia bawa usul DPTN ke Majlis Raja-Raja – TPM

SHARE

AYER KEROH: Kerajaan sedia membawa usul Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini ke Majlis Raja-Raja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau secara peribadi menyokong penuh usul berkenaan dan yakin ia akan dapat dilaksanakan selepas dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

“Insya-Allah, DPTN ini akan dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja. “Kerajaan yakin usul yang diluluskan di Melaka hari ini (semalam) akan dapat dicontohi negeri lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Sejurus selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri berangkat menunaikan solat tarawih di Masjid Salmah Khamis di Masjid Tanah di sini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan percaya dasar pendidikan berkenaan akan mengangkat golongan tahfiz di negara ini ke dalam bidang profesional menerusi galakan untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita mahu golongan hufaz tidak hanya menjadi imam, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sebaliknya dengan adanya SPM mereka boleh melanjutkan pengajian di luar negara seterusnya diserapkan ke dalam bidang profesional.

“Sebagaimana dialog Transformasi Negara 2050 (TN50) yang menghimpunkan kira-kira 30,000 hufaz di ibu negara baru-baru ini, kerajaan menyasar akan ada sekurang-kurangnya 125,000 hufaz di seluruh negara pada tahun 2050,” katanya.

Berita Harian

Comments