Home Tempatan Sedekah bina masjid mulia

Sedekah bina masjid mulia

SHARE
Wan Akashah Wan Abdul Hamid

SHAH ALAM – Amalan bersedekah dan wakaf khususnya untuk membina masjid sangat digalakkan dalam Islam kerana rumah ibadat itu merupakan pusat kegiatan umat Islam sejak dari zaman Rasullah lagi.

Pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, malah perkara utama ketika dilakukan Rasullah ketika berhijrah ke Madinah ialah membina masjid.

Beliau berkata, dengan itu jelas aspek membina masjid ini sangat penting dan mempunyai kelebihan tertentu terutamanya kepada mereka yang ikhlas dalam bersedekah dan menyumbangkan dana pembangunan masjid.

Menurutnya, hukum memberi dana adalah sunat yang sangat digalakkan dan ALLAH SWT sudah menjanjikan sesiapa yang melakukan apa sahaja kebajikan tidak akan sesekali dinafikan atau disekat daripada memperoleh pahala.

“Membelanjakan harta di jalan ALLAH jelas sesuatu yang dituntut agama dan sangat besar faedahnya kepada umat manusia.

“Banyak kelebihan yang kita dapat dengan memberi dana antaranya mendekatkan diri dengan ALLAH, mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf meninggal dunia, berkongsi manfaat di kalangan umat Islam dalam menyemarakkan syiar Islam selain dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Wan Akashah berkata, hukum bagi individu atau pihak yang meminta dana pula adalah sunat dan perbuatan itu juga sangat digalakkan dalam Islam.

“Kerja-kerja sukarela ini adalah satu usaha yang dapat membantu kita dalam proses menjadikan diri seorang insan yang berjaya.

“Ia juga dapat mendidik seseorang itu gemar melakukan kebaikan dan sentiasa mahu membantu masyarakat Islam,” katanya.

Walaupun begitu katanya, masih ramai yang ragu-ragu menyumbang kerana bimbang ditipu individu atau pihak yang cuba memanipulasi agama kononnya untuk membina masjid.

Wan Akashah berkata, orang ramai tidak perlu ragu-ragu, sebaliknya teruskan niat untuk membuat amalan apatah lagi bagi mereka yang mampu.

“Jika tidak memiliki tanah dan rumah, cukuplah mewakafkan wang tunai untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi ALLAH SWT.

“Begitulah nilaian amalan infak yang kita lakukan, menjadi besar di sisi ALLAH,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak pengurusan masjid perlu mainkan peranan bagi membina keyakinan orang ramai supaya ikhlas menyumbang.

Menurutnya, pihak pengurusan masjid perlu melakukan kerja dengan ikhlas serta profesional supaya orang ramai akan tertarik membantu secara sukarela.

“Jika dana sudah diperoleh, pihak pengurusan masjid perlu menggunakannya sebaik mungkin. Binalah sesuatu yang memberi manfaat kepada orang ramai termasuk anjur program yang beri kebaikan kepada ummah,” katanya.

Sinar Online

Comments