Home Antarabangsa Sebut ‘Allah’, Kanak-Kanak Sindrom Down Dituduh Pengganas, Ibu Bapa Ditahan

Sebut ‘Allah’, Kanak-Kanak Sindrom Down Dituduh Pengganas, Ibu Bapa Ditahan

SHARE

Texas, Amerika Syarikat: Seorang kanak-kanak lelaki Muslim berusia 6 tahun yang menghidapi penyakit Sindrom Down telah ditahan polis dan ahli keluarganya disiasat selepas cikgu sekolahnya menghubungi polis dan menuduh kanak-kanak itu sebagai seorang pengganas, lapor portal Mail Online.

Mohammad Suleiman yang bersekolah di Sekolah Rendah CJ Harris di Pearland, Texas didakwa asyik mengulangi perkataan “Allah” dan “boom” di dalam kelas oleh guru gantinya.

Ibu bapa Mohammad Suleiman berkata perkara itu tidak benar kerana anak mereka tidak boleh bercakap dan mempunyai “keupayaan mental kanak-kanak berusia setahun”.

“Itu tidak benar, dia tidak boleh bercakap,” kata bapa kanak-kanak terbabit, Maher Suleiman.

“Mohammad dilahirkan dengan Down’s Syndrome Chromosome 21. Dia memerlukan penjagaan setiap masa.”

Tambahnya lagi, perkara ini merupakan satu diskriminasi dan dia berpendapat bahawa cerita mengenai anaknya berulang kali menyebut perkataan “Allah” dan “boom” sebagai rekaan semata-mata.

“Guru itu mendakwa anak saya pengganas. Ini adalah diskriminasi. Ia bukan diskriminasi tersirat, ia sebenar-benarnya diskriminasi.”

“Saya berpendapat, berdasarkan semua yang saya dengar daripada jabatan polis dan bercakap dengan pentadbir sekolah, cerita ini direka oleh guru ganti yang mendakwa anak saya mengganggunya dan dilihat mungkin boleh jadi pengganas,” kata Maher yang juga aktivis komuniti kulit hitam Quanell X.

Tuduhan tersebut menyebabkan keluarga kanak-kanak itu disiasat pihak polis dan penyiasat perkhidmatan sosial.

Jabatan Polis Pearland berkata pihaknya menyelesaikan siasatan dan mendapati tiada keperluan untuk tindakan lanjut, tetapi Jabatan Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak di rantau itu berkata penyiasatan mereka masih berlangsung.

Comments