Home Tempatan Sebelum Ada Fatwa, Malaysia Dulunya Progresif – Nisha Ayub

Sebelum Ada Fatwa, Malaysia Dulunya Progresif – Nisha Ayub

SHARE

Kuala Lumpur: Aktivis Mak Nyah, Nisha Ayub berharap bahawa suatu hari nanti Malaysia dapat menawarkan masa hadapan yang lebih baik kepada golongan minoriti seksual. Nisha berkata sedemikian ketika mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Britain, Theresa May yang menyatakan kekesalan beliau terhadap undang-undang anti-LGBT yang digunakan oleh negara beliau pada era kolonial lalu termasuk di Malaysia.

Nisha Ayub pula menambah bahawa Malaysia boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang progresif suatu waktu dahulu sebelum adanya penguatkuasaan fatwa atau hukum-hakam Islam seperti yang dilaporkan portal The Malay Mail Online.

“Pada masa dulu, kami turut mempunyai kumpulan sokongan untuk transgender yang diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan, sebelum adanya (majlis) fatwa di Malaysia, kalau tak silap saya yang diwujudkan pada tahun 1982,” dakwa Nisha sambil menyatakan bahawa Malaysia sepatutnya mula melihat semula undang-undangnya yang mendiskriminasi aktiviti LGBT dan merumuskan perundangan-perundangan yang lebih inklusif yang dibuat bagi melindungi golongan minoriti seksual.”

“Jadi saya berharap jika seorang Perdana Menteri dari Britain memperkatakan hal ini secara terbuka, kerajaan Malaysia kita seharusnya mempertimbangkan hal tersebut yang bersangkut-paut dengan undang-undang, sebab sama ada kamu suka atau tidak, Malaysia bukanlah sebuah negara Islam.”

“Kita mempunyai rakyat yang majmuk dan pelbagai latar belakang agama dan macam-macam lagi, jadi setiap orang sepatutnya diberikan perlindungan dan hak-hak sama rata, tidak kira bangsa, agama, jantina termasuklah seksualitinya,” kata beliau lagi.

Comments