Home Tempatan Sebat Secara Terbuka, Bukan Di Tempat Terbuka, Kata Peguam Muslim

Sebat Secara Terbuka, Bukan Di Tempat Terbuka, Kata Peguam Muslim

SHARE

PUTRAJAYA, 26 Syawal 1438H, Khamis – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menyelar segelintir pihak yang menentang pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka di Kelantan dengan alasan zalim dan menghina.

Beliau berkata, kelompok berkenaan disifatkan tidak faham mengenai pelaksanaan sebenar hukuman sebat dan konsep Uqubah dalam Islam.

“Mereka tidak faham. Pelaksanaan hukuman sebat ini bukanlah sezalim yang mereka fikirkan seperti sebatan di mahkamah sivil.

“Mahkamah sivil, sekali sebat sudah mencederakan, berdarah, pengsan dan sebagainya. Tetapi mengikut Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah, diperincikan mengenai bagaimana sebatan itu dilakukan,” katanya kepada Ismaweb.net di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 11 Julai lalu menyatakan sebatan dilakukan secara terbuka, namun tidak disebut di tempat terbuka.

“Jadi secara terbuka bermakna, ramai yang boleh tonton… saksikan pelaksanaan sebat itu. Ia berdasarkan al-Quran juga yang menyatakan sebatan itu mestilah disaksikan oleh sekurang-kurangnya tiga orang minimum atau lebih, jadi ia boleh dilakukan di tempat terbuka.

“Kalau dipenjara boleh dilakukan, namun ia mestilah dilakukan secara terbuka di mana orang awam boleh masuk dan menyaksikan di mana-mana. Seperti mahkamah, yang membenarkan orang awam masuk menyaksikan perbicaraan.

“Ia bukanlah terbuka seperti Pasar Siti Khadijah, taman-taman mahupun tempat terbuka, tetapi pelaksanaan itu perlu secara terbuka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, terbuka itu mestilah mempunyai had tertentu, yang mana tidak membenarkan kanak-kanak memasuki dan menyaksikan pelaksanaan itu.

“Sebagai contoh mahkamah yang bersidang secara terbuka, tetapi kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenar masuk ke mahkamah. Masih perlu ada pengecualiannya.

“Bagaimanapun, ia tiada masalah kepada orang bukan Islam untuk menyaksikan pelaksanaan sebat itu. Cuma kita tidak boleh paksa orang ramai menyaksikan sebatan, itu bukan konsepnya. Jadi kalau dibuat contoh di tempat awam, orang yang lalu-lalang pun terpaksa melihat, maka itu bukan konsepnya,” katanya.

Comments