Home Tempatan Sasar kutip RM37 juta bantu Palestin

Sasar kutip RM37 juta bantu Palestin

SHARE
PENGARAH Projek Ramadan, Khalida Abd Halim (dari kiri), Ir Omar Seyam, Awang Sufian Awang Piut dan Pengarah Media Aman Palestin, Ustaz Anas Abd Wahab pada Sidang media perancangan Aman Palestin 2017 dan Pelancaran Ramadan Kareem. - Foto Rosela Ismail

BANGI: Aman Palestin Berhad memerlukan sumbangan sebanyak RM37 juta pada tahun ini bagi menyalurkan bantuan kepada lebih 10 juta rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, yakin jumlah itu mampu dicapai meskipun Malaysia berdepan cabaran ekonomi yang tidak menentu.

Beliau berkata, sifat dermawan yang berterusan menggambarkan komitmen tinggi rakyat negara ini mahu melihat Palestin cekal untuk bangkit semula daripada penindasan Israel.

Justeru, pihaknya sudah merancang pelbagai program dalam usaha membangunkan semula Palestin dengan mengambil kira perkembangan ekonomi, sama ada dalam dan luar negara.

“Infrastruktur dan pembangunan manusia sudah pasti menjadi agenda utama membabitkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.”

“Aman Palestin akan memberi nafas baharu kepada projek-projek berskala besar, antaranya membabitkan pembinaan Sekolah Tahfiz Malaysia, pembinaan semula Masjid As-Syafie dan Masjid Al-Qasam serta hospital bernilai RM15 juta.”

“Selain menyediakan bantuan kepada keluarga dan anak yatim, Aman Palestin mahu memfokuskan pembentukan modal insan menerusi latihan kepada rakyat Palestin supaya memberi manfaat kepada mereka.”

“Sumbangan kepada rakyat Syria pula yang terdedah dengan bahaya berpunca peperangan diteruskan apabila sebanyak RM500,000 disalurkan, terutama kepada kem pelarian Syria di Turki,” katanya pada sidang media mengenai Perancangan Aman Palestin 2017 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Ir Omar Seyam.   Pada masa sama, Aman Palestin turut melancarkan kempen Tabung Ramadan Kareem sambil menyasarkan kutipan berjumlah RM3.6 juta.

Sumbangan boleh dilakukan menerusi laman sesawang Aman Palestin, www.amanpalestin.net atau menghubungi talian 03-89267019.

Berita Harian

Comments