Home Tempatan Sampai Masanya Agensi Islam Pusat Diletakkan Di Bawah Kuasa Yang di-Pertuan Agong...

Sampai Masanya Agensi Islam Pusat Diletakkan Di Bawah Kuasa Yang di-Pertuan Agong – Mufti Pahang

SHARE

Kuantan: “Sudah sampai masanya Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” demikian cadangan Sohibus Samahah Mufti Pahang Dato`Sri Dr Haji Abd Rahman bin Haji Othman.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan berkenaan pihak-pihak seperti pertubuhan tidak berdaftar G25 yang sedang mendesak supaya institusi-institusi Islam yang ditubuhkan bawah perkenan Majlis Raja-raja itu dibubarkan.

Menurutnya, cadangan pihak berkenaan untuk menghapuskan JAKIM dan IKSIM ini saya rasa adalah tindakan yang tidak bijak kerana kesannya ia akan membawa kepada kesusahan kepada kefahaman, penyelarasan, pentadbiran dalam agama Islam itu kelak.

Ujar beliau, kerajaan yang ada sepatutnya tidak campur tangan kerana agensi agama Islam ini ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-raja.

“Kita tahu JAKIM tidak ada kuasa melainkan kuasa agamanya di bawah menteri dan Tuanku Sultan yang mempunyai kuasa di bawah bidang kuasa negeri, walau bagaimanapun untuk menyelaraskan agama Islam di dalam setiap negeri kita memerlukan satu jabatan atau satu pihak yang boleh membantu penyelarasan maka disebabkan itulah ditubuhkan JAKIM yang turut diperkenankan oleh Majlis Raja-raja juga dan untuk menghapuskannya juga mesti memohon perkenan Majlis Raja-raja terlebih dahulu.

“Kita ambil contoh, misalnya isu falak untuk menentukan Hari Raya, kalau mengikut negeri, Pahang boleh buat keputusan sendiri untuk tentukan bila hendak raya dan sebab itu pernah berlaku dahulu ada negeri yang sambut raya dahulu dan ada negeri yang tidak raya kerana pengistiharan dan ketetapannya tidak seragam.”

“Maka inisiatif inilah peranan JAKIM diwujudkan bagi menyelaras semua pandangan berkaitan agama bagi setiap negeri-negeri dengan perkenan Majlis Raja-raja.”

“Bermakna jika tidak ada yang memainkan peranan seperti JAKIM maka siapa yang akan bertanggungjawab?”katanya.

Menjelaskan mengenai IKSIM pula, Dato’ Sri Dr Haji Abd Rahman berkata, IKSIM ini merupakan satu badan yang memberikan kefahaman kita terhadap perlembagaan Malaysia dan peranan besar IKSIM ini begitu diperlukan supaya tidak berlaku salah faham sehingga menimbulkan perpecahan di negara ini.

“Sebab kita tahu keistimewaan negara ini tidak ada pada negara Singapura misalnya yang tidak membezakan agama Islam dengan agama lain.”

“Di sana setiap agama sama sahaja tidak ada mengutamakan mana-mana agama dan berlainan dengan kita di Malaysia, Islam sudah termaktub di dalam perlembagaan sebagai Agama Persekutuan.”

Maka jelas beliau, menjadi tugas dan peranan IKSIM untuk memberikan kefahaman supaya rakyat Malaysia faham bahawa kebebasan beragama wujud tetapi tertakluk kepada Perkara 3(1) Perlembagaan di mana, agama-agama lain turut boleh diamalkan dengan aman damai dan memberi kesedaran bahawa agama-agama lain tidak boleh mengambil keistimewaan seperti agama Islam.

Menurutnya, itu merupakan peranan yang besar yang dipertanggungjawabkan kepada IKSIM dan samalah juga seperti JAKIM yang menyelaraskan dari segi perlaksanaan termasuk dari segi pentadbiran.

Beliau berkata, IKSIM ini berperanan membantu JAKIM dalam memastikan kefahaman terhadap agama Islam tentang perlembagaan dapat disampaikan kepada keseluruhan masyarakat berbilang kaum dan agama dan ini sudah cukup jelas kedua-dua institusi agama ini mempunyai peranan yang cukup besar.

Beliau turut berpesan kepada pemerintah yang baru agar tidak lupa peranan kerajaan dalam memartabatkan Islam di Malaysia.

Menurutnya, yang penting sekarang ini kita mengemaskini peranan yang ada itu supaya tidak ada campur tangan politik.

Jelas beliau, mungkin cadangan Perdana menteri untuk mengemaskini JAKIM dan IKSIM sesuatu yang boleh saya bersetuju.

“Tetapi untuk menghapuskan JAKIM dan IKSIM ini sekali lagi saya katakan ia adalah tindakan yang tidak bijak.”

Ujar beliau lagi, Majlis Agama Islam di bawah Raja-raja dan bagi pendapat saya JAKIM dan IKSIM ini pula perlu dikemaskinikan dan diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong.

“Ini disebabkan hal-hal berkaitan agama Islam ini akan berlaku campur tangan jika berlaku pertukaran pemerintahan di masa akan datang.”

Justeru, adalah lebih baik agensi-agensi yang berkaitan agama Islam diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong tanpa boleh diganggu gugat.

“Sebab ia berkaitan agama dan sepatutnya kerajaan yang ada tidak boleh berbincang mengenainya, jika mahu berbincang bawalah kepada Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong bukan badan politik,”katanya.

Menurut beliau, beliau merasakan terdapat satu bentuk usaha yang sedang giat dijalankan cuba untuk menghapuskan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Menurut beliau, ia dijalankan dengan tidak secara langsung diresapkan kepada pihak-pihak tertentu yang apabila hasrat ini tercapai, maka sasaran untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara sekular menjadi kenyataan.

Ditanya, bagaimana pula dengan tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan untuk memastikan supaya ada semak dan imbang kepada tuntutan kumpulan-kumpulan pro sekular dan liberal dalam negara beliau berkata, “sepatutnya hal-hal dan keputusan berkaitan agama tidak boleh dibawa ke dalam parlimen, kalau diikutkan begitulah, sebab tidak boleh difahamkan satu isu agama dalam parlimen kecuali kita kena ubahnya.”

“Misalnya, kita hendak bawa RUU, banyak orang pertikaikan asal berkaitan RUU enakmen agama ini dan bagi pendapat saya itu tidak boleh, kerana ia sepatutnya dibawa ke Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

“Saya rasa dalam hal-hal berkaitan agama ini kita perlu kembalikan kepada Majlis Raja-raja dan apabila Raja-raja bersetuju bolehlah dibawa ke Parlimen untuk dibentuk rang undang-undang ataupun satu pindaan dibuat dan kalau melibatkan orang-orang Islam tidak perlu campur tangan orang-orang bukan Islam.”

Comments