Home Antarabangsa Sami, tentera Myanmar tidak rampas bantuan 500 tan

Sami, tentera Myanmar tidak rampas bantuan 500 tan

SHARE
DATUK Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - Foto BERNAMA

Teluk Bengal: Bantuan 500 tan dihantar kapal kemanusiaan Nautical Aliya pada Khamis lalu, masih berada di sebuah gudang di Pelabuhan Yangon.

Ia tidak dirampas tentera Myanmar atau sami Buddha seperti yang dihebahkan di laman sosial hari ini. Bantuan kemanusiaan, termasuk 300 tan beras itu akan dihantar ke Sittwe, Rakhine oleh kapal tentera laut Myanmar. Ketua misi flotila yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata proses penghantaran itu akan mengambil masa tiga hari.

Katanya, proses pengagihan bantuan di Sittwe akan dipantau wakil Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar.

“Jangan percaya khabar kononnya bantuan dirampas sami, tentera Myanmar. Ini adalah dakwaan palsu semata-mata,” katanya kepada wakil media di atas kapal Nautical Aliya.

Abdul Azeez mengulas penularan laporan media pada tahun lalu di media sosial kononnya bantuan kemanusiaan dihantar ke Myanmar untuk etnik Rohingya dirampas tentera dan sami Buddha.

Laporan BH pada tahun lalu itu merujuk kepada misi kemanusiaan sebelumnya dan tiada kena mengena dengan misi flotila pada kali ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Zulhanis Zainol dan ketua pasukan perubatan misi flotila, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman.

Kapal Nautical Aliya kini berada di Teluk Bengal dan dijangka tiba di Chittagong pada jam 4 petang esok.

Ia masih belum menerima kebenaran dari Dhaka untuk menurunkan kesemua 184 aktivis dan sukarelawan.

Berita Harian

Comments