Home Kolumnis Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita

Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita

SHARE

Pernahkah kalian mendengar mengenai pembunuhan adik beradik Mirabal? Menurut sejarah, adik-beradik Mirabal yang terdiri daripada 3 orang adik-beradik perempuan mati dibunuh sewaktu menentang pemerintah diktator Republik Dominica, Trujillo pada 25 November sekitar tahun 1960-an.

Kekejaman pembunuhan terhadap 3 beradik Mirabal yang juga merupakan aktivis politik telah memberi inspirasi kepada pergerakan anti-Trujillo, yang akhirnya membawa kepada penggulingan rejim kejam terbabit.

Sejak itu, adik beradik Mirabal kekal menjadi simbol wanita mangsa kekejaman dan usaha peperangan wanita ke atas keganasan.

Berdasarkan peristiwa inilah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah bersepakat untuk memilih tarikh 25 November sebagai Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut secara rasmi bermula dari tahun 1999.

Menurut definisi PBB, keganasan terhadap wanita bermaksud satu tindakan ganas berasaskan gender sebagai motif utama di mana tujuannya adalah untuk menyakiti wanita secara fizikal, seksual atau mental.

Peralihan masa dan kemajuan teknologi membantu masyarakat mendapat pendedahan mengenai keganasan terhadap wanita. Akan tetapi, apa yang menyedihkan ialah, semakin dunia mencapai kemajuan, semakin banyak kisah keganasan dan penganiayaan terhadap wanita yang berlaku di seluruh dunia.

Dipukul, dirogol, diabaikan, didiskriminasi dan dipandang rendah merupakan perkara-perkara yang biasanya dihadapi oleh golongan ini, tidak kiralah sama ada dalam perkahwinan mahupun di luar perkahwinan.

Saban hari, dunia dikejutkan dengan keganasan terhadap wanita terutamanya dari segi keganasan seksual. Sebagai contoh, keganasan seksual yang dilakukan oleh individu-individu terkenal Hollywood seperti produser filem ternama, Harvey Weinstein dan juga kekejaman yang dilakukan oleh tentera Myanmar ke atas golongan wanita Rohingya tanpa mengira umur dan status.

Malaysia juga tidak lari daripada kes keganasan terhadap wanita. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan dalam sesi Parlimen bulan April 2017, sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Chew Mei Fun berkata jumlah tersebut merangkumi bilangan kes keganasan rumah tangga dan kes-kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang melibatkan wanita sebagai mangsa seperti kes mencabul kehormatan, sumbang mahram, rogol dan kesalahan luar tabii.

Dalam menangani permasalahan ini, kerajaan Malaysia menunjukkan kesungguhan dengan bertindak meminda Kanun Keseksaan di mana pesalah boleh dikenakan hukuman maksimum sehingga 30 tahun penjara dan sebatan mandatori berbanding hukuman lebih ringan sebelum akta ini dipinda.

Kerajaan Malaysia juga telah menerima resolusi dan deklarasi antarabangsa menentang keganasan terhadap wanita seperti, Pelan Tindakan dan Deklarasi Beijing (1995) dan Deklarasi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita (1993).

Selain itu, golongan wanita juga dilindungi dalam Islam. Islam datang dengan konsep memuliakan, menjaga dan melindungi wanita. Kedudukan wanita diangkat selepas kedatangan Islam. Malah, Islam juga membebaskan wanita dari belenggu kehinaan yang dibawa oleh jahiliyyah.

Islam menyuruh umatnya berlemah lembut terhadap wanita. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

“Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita.”

Berdasarkan hadis di atas dapat dilihat bagaimana Islam dan Rasulullah mengajarkan kepada umat Islam mengenai konsep mendidik wanita. Jika dalam soal mendidik pun Rasulullah menyuruh untuk berhati-hati dan berlemah-lembut, apatah lagi melibatkan perkara lain.

Islam juga telah menggariskan hak-hak dan kepentingan wanita dari pelbagai sudut seperti dari sudut institusi kekeluargaan, pendidikan, kerjaya dan ekonomi.

Mengambil contoh asas-asas yang ditetapkan oleh Islam bagi menjamin kepentingan wanita dalam keluarga contohnya, wanita yang belum dewasa dilindungi di bawah penjagaan walinya. Manakala, bagi wanita yang sudah berkahwin, Islam menggariskan panduan dan tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan keluarganya.

Selain itu Islam mengatur undang-undang rumah tangga di mana hak suami dan isteri telah ditetapkan secara jelas. Garis panduan dan hak ketika berlaku poligami, talak atau penceraian untuk kaum wanita juga ada ditetapkan di dalam Islam.

Pendek kata, Islam telah menggariskan hak wanita yang sepatutnya dihormati dan dilindungi dan tidak boleh dirampas oleh sesiapa pun.

Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita ini, marilah sama-sama berusaha melindungi wanita. Bagi kaum wanita pula, anda berada di negara yang mempunyai undang-undang bagi melindungi hak anda sebagai seorang wanita. Kuatkan diri anda dan bekalkan diri dengan pendidikan dan kesedaran agar tiada sesiapa yang boleh mendiskriminasi dan melakukan keganasan terhadap anda dan kaum Hawa yang lain.

Berpeganglah dan ingatilah tema sambutan tahun ini; Jangan pinggirkan sesiapa pun: Hentikan keganasan terhadap wanita dan remaja perempuan.

Rujukan:

Riwayat al-Bukhari, kitab hadis-hadis berkaitan Nabi, bab penciptaan Adam dan keturunannya, no. hadis: 3083, kitab al-Nikah, bab Wasiat Untuk Wanita, no.hadis 4787.

https://m.thevintagenews.com/2017/04/19/the-mirabal-sisters-the-three-butterflies-who-were-killed-because-of-their-activities-against-the-dictatorship-of-rafael-trujillo/

https://www.utusan.com.my/mobile/berita/parlimen/57-519-kes-keganasan-wanita-dilapor-1.474576

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

https://www.un.org/en/events/endviolenceday/

Comments