Home Tempatan Sambut Aidilftri ikut sunah – Sultan Nazrin

Sambut Aidilftri ikut sunah – Sultan Nazrin

SHARE
Sumber gambar: Mynewshub

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengajak umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri dalam semangat menghargai nikmat kurniaan Ilahi serta berpandukan sunah Rasulullah.

Baginda bertitah, Aidilfitri harus diraikan dengan mengunjungi saudara-mara dan rakan serta menerima kunjungan tetamu dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan.

“Aidilfitri hendaklah dijadikan platform untuk membuktikan sifat persaudaraan dan kemanusiaan umat Islam yang tidak bermusuh sesama insan, malah menghormati kewujudan kepelbagaian, dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama, kaum dan budaya.

“Pancarkan sifat persaudaraan dan sifat kemanusiaan bersama fajar Aidilfitri,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri yang dikeluarkan, di sini, malam tadi.

Sultan Nazrin bertitah, Rasulullah menyeru supaya Aidilfitri dijadikan hari untuk bekerjasama, mengeratkan perpaduan ummah serta menjadikannya sebagai hari kedamaian, kegembiraan dan keriangan.

“Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Rasulullah akan menziarahi kaum keluarga dan rakan, serta turut meraikan kunjungan tetamu dan menghidangkan juadah makanan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan orang Islam di negara ini supaya menginsafi nasib hampir 60 juta umat Islam yang menumpang di pusat pelarian serata dunia.

Baginda juga meminta supaya masyarakat Islam di negara ini berkongsi kemewahan rezeki yang dikurniakan Allah dengan memperbanyakkan amalan sedekah.

Baginda juga meminta semua pihak untuk menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dan pelbagai pihak lain, yang membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan meriah.

Berita Harian

Comments