Home Tempatan Saman RUU 355-Tawfik Ismail Tiada Locus Standi-PAS

Saman RUU 355-Tawfik Ismail Tiada Locus Standi-PAS

SHARE

KOTA BHARU: Sub judice, kalau perkara itu di dalam perbicaraan dan pertimbangan mahkamah, tetapi kes ini baru difailkan saman, belum lagi dibicarakan jadi tidak ada sub judice seperti yang di dakwa Tawfik Ismail, kata Ahli Parlimen Pas Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Selain itu, pihaknya juga telah buat semakan dengan pihak peguam Negara melalui Jabatan Peguam Negara dan telah mengesahkan bahawa semasa dibentangkan  buat pertama kalinya pada tahun 1965, RUU 355  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), tiada rujukan dan perkenan majlis raja-raja, tiada apa-apa masalah yang timbul pada ketika itu.

“Jadi kita berpandangan perkara ini memang tak perlu memohon perkenan raja-raja, lagipun ini berbeza dengan dahulu, yang dulu kerajaan pun tidak perlu mendapat perkenan majlis raja-raja, lebih-lebih lagi perkara ini merupakan private member’s bill, rang undang-undang persendirian bukan daripada kerajaan,” katanya.

Takiyuddin berkata, beliau percaya secara umumnya apabila masuk ke dalam mahkamah, mungkin antara salah satu aspek yang akan dibuat pihak yang kena saman, responden dalam kes ini akan mengambil pelbagai tindakan antaranya ialah memohon supaya saman ini dibatalkan ataupun memberi alasan antaranya locus standi dari segi hak untuk menyaman itu.

“Bagaimanapun saya nak komen secara detail pun tak boleh disebabkan tidak melihat sendiri saman berkenaan selain pihak PAS sendiri tidak dinamakan dalam saman itu. Kata beliau, lagipun apabila Parlimen sudah bersidang kelmarin, dan huraian telah diberikan mengenai isu 355, saya rasa saman pun sudah jadi macam akademik.

Menurutnya, tujuan saman itu adalah untuk menyekat pembentangan, jadi Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah benarkan dan pembentangan pun telah dibuat oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang  yang juga ahli parlimen Marang, jadi saya rasa saman itu sudah tidak ada apa-apa kesan lagi.

Ditanya adakan adakah parlimen boleh mengeluarkan saman semula ke atas Tawfik Ismail yang dilihat mengganggu kelancaran persidangan beliau berkata, perkara itu terserah kepada parlimen, kalau parlimen rasa perlu, parlimen boleh buat, tetapi biasanya  parlimen tidak akan menyaman kepada pihak-pihak yang tidak ada apa-apa kaitan langsung.

“Dia (Tawfik Ismail) tiada locus standi, dia bukan ahli parlimen dan bukan pihak-pihak yang ada kaitan dengan parlimen dan tak perlu di saman pun.”

Takiyuddin berpendapat mengenai suara-suara sumbang dari luar dewan seumpama Tawfik ismail ini tak perlu dilayan pun oleh parlimen kerana hanya mengganggu kelancaran setiap kali persidangan berlangsung.

Bercakap mengenai wujudnya golongan yang cuba menghalang RUU 355 ini dibentangkan Takiyuddin berkata, secara positifnya seperti yang saya katakan semalam di parlimen, ambil peluang untuk faham dahulu RUU 355 ini, jangan buat keputusan terlalu awal.

“Masakan, sebelum membuat kajian sudah menyatakan pendirian menentang ataupun tidak bersetuju. Nasihat saya, dengar dahulu dan tengok pandangan dari pihak yang mengemukakan  perkara ini  selepas itu baru mengambil pendirian.”

“Jangan buat keputusan penghakiman awal (early judgement),” katanya. Persoalan mengenai motif sebenar Tawfik Ismail, campur tangan dan cubaan menggugat kuasa parlimen ini Takiyuddin berpandangan, mungkin Tawfik terdiri daripada golongan yang tidak suka kepada usaha-usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah itu sendiri, tidak tahulah atas apa alasan.

“Tapi dilihat dia mengambil tindakan ini tanpa melihat kepada aspek perundangan boleh atau tak boleh buat perkara itu dan juga daripada aspek kita nak meningkatkan kedudukan Mahkamah Syariah dan undang-undang syariah itu sendiri.

Beliau berkata, mungkin dia (Tawfik Ismail) bukan orang yang  berminat ke arah itu saya rasa. “Kita orang Islam, kita nak tengok kedudukan Mahkamah Syariah ini dipertingkatkan dan undang-undang syariah diperkasakan sudah tentu kita akan sokong, bukan sebaliknya.”

Beliau berkata, setakat ini seluruh umat Islam saya rasa tidak ada masalah untuk menerima RUU 355 ini dan untuk bukan Islam, yang jelas saya nak sebutkan bahawa 355 ini got nothing to do untuk orang bukan Islam. “Bangkangan itu tidak ada asasnya dan atas asas apa mereka mahu membangkang,” katanya.

Menurutnya, kelmarin, di Parlimen pun saya ditanya mengenai perkara ini yang dikaitkan dengan hudud oleh ahli parlimen bukan Islam, pertama saya katakan 355 ini memang tidak ada kaitannya dengan bukan Islam dan bukan hudud selain perkara ini tidak ada kaitan dengan perlaksanaan hudud dan sebagainya, dan yang keduanya, kalau pun hudud dan undang-undang itu berbentuk hudud mereka tetap tidak ada kaitan juga kerana bukan Islam.

Ditanya sejauh mana kejayaan yang boleh diraih RUU 355 untuk persidangan akan datang, beliau berkata, kita mengharapkan segala proses berjalan  dengan lancar dan mendapat sokongan semua pihak serta difahami oleh semua termasuk pihak-pihak yang sebelum ini belum faham lagi.

“Kita optimis keseluruhan Ahli Parlimen beragama Islam akan sokong kerana ini bukan isu melibatkan politik tetapi ini merupakan isu kepentingan agama sama ada mereka dari mana-mana parti sekalipun dan atas apa alasan sekalipun mereka tidak boleh nak tolak,” katanya.

Comments