Home Tempatan Saman fitnah jurucakap G25, ahli peniagaan selesai melalui mediasi

Saman fitnah jurucakap G25, ahli peniagaan selesai melalui mediasi

Kedua-duanya bersetuju menarik balik 2 saman selepas mengadakan perbincangan secara peribadi selama 90 minit.

SHARE

KUALA LUMPUR: Dua kes saman membabitkan jurucakap kumpulan bekas penjawat awam (G25) Datuk Noor Farida Ariffin dan seorang ahli perniagaan atas dakwaan memfitnah, hari ini diselesaikan secara baik melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Azad Bashir, yang mewakili ahli perniagaan Azmi Arshad, kepada pemberita selepas penyelesaian kes di hadapan Pengarah Pusat Mediasi Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim di Pusat Mediasi di sini, hari ini.

Azad berkata Farida dan Azmi bersetuju menyelesaikan kes berkenaan serta menarik balik kedua-dua saman itu selepas mengadakan perbincangan secara peribadi selama 90 minit.

“Pengarah pusat mediasi merekodkan penyelesaian kedua-dua kes saman itu tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk kedua-duanya memfailkan semula tindakan saman baharu,” kata Azad yang turut memaklumkan hari ini merupakan hari ke-3 perbincangan itu diadakan di pusat mediasi.

Bagaimanapun, terma penyelesaian kes saman berkenaan tidak didedahkan kepada pihak media.

Penyelesaian itu juga direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Roslan Abu Bakar, yang kemudiannya membatalkan kedua-dua kes saman tersebut tanpa sebarang kos.

Farida diwakili peguam D Maya Gayathri.

Farida, 70, yang juga bekas duta besar Malaysia ke Belanda memfailkan saman itu pada 7 Mac 2016, dengan mendakwa Azmi, 53, selaku defendan mengarang dan menerbitkan artikel bertajuk “Low Yat Is Only a Gentle Reminder” di World Wide Web yang dikenali sebagai Portal Islam & Melayu pada 13 Julai 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, Farida selaku plaintif mendakwa artikel itu antara lain membawa maksud beliau menghina, memprovokasi agama Islam dan menyokong pemimpin DAP serta portal berita termasuk MalaysiaKini, Free Malaysia Today dan The Heat untuk mencemuh orang Islam.

Pada 24 Jun 2016, Azmi pula memfailkan saman terhadap Farida selaku defendan atas dakwaan menerbitkan perkataan berunsur fitnah di laman Facebook pada 8 Mei 2016 yang boleh diakses orang ramai.

Azmi mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau tidak mempunyai fahaman agama yang kuat dan pembuli siber.

Free Malaysia Today

Comments