Home Tempatan Sama Ada Hari Ini Atau Kemudian Hari, UEC Tetap Tidak Boleh Diteruskan...

Sama Ada Hari Ini Atau Kemudian Hari, UEC Tetap Tidak Boleh Diteruskan – UMMAH

SHARE

Kuala Lumpur: Sama ada hari ini atau kemudian hari, UEC tetap tidak boleh diiktiraf, demikian kenyataan media Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) semalam sepertimana yang dibacakan oleh Ketua Sekretariat UMMAH, Tuan Haji Aminuddin Yahaya.

“Susulan desakan pelbagai pihak termasuk kenyataan tegas yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) bersama-sama gabungan 300 NGO Islam, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 12 Julai 2018 di PICC Putrajaya bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu ataupun UEC sebagai kenyataan yang separa matang,” tegas Aminuddin.

Penegasan sedemikian dibuat merujuk kepada sebuah video yang tular di media sosial di mana Menteri Pendidikan memberi kenyataan bahawa UEC merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan namun ia tidak akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Aminuddin turut memetik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching pada 13 Julai 2018 yang memuat naik satu posting di Facebook beliau memaparkan dialog antara pihak kementerian dengan Dong Jiao Zong dan menyatakan bahawa beliau tidak bersendirian dalam usaha mengiktiraf UEC dan akan melaksanakan manifesto tersebut.

Seterusnya, Aminuddin menyatakan, “Bahawa Gerakan Pembela Ummah ingin mengingatkan bahawa pengiktirafan terhadap UEC tidak dapat dan tidak boleh diterima dalam sistem pendidikan di negara ini secara dasar dan secara prinsip baik sama ada dilaksanakan hari ini ataupun di kemudian hari.”

Beliau kemudiannya memetik Akta Pendidikan 1996 pada bahagian prakatanya di mana dasar pendidikan akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama, pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan akan memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Aminuddin juga berkata bahawa UEC adalah sebuah sistem luar yang diambil daripada model pendidikan negara Taiwan dan China yang tidak mengambil kira mahupun menerima atau mahu merentas budaya bangsa dan negara Malaysia, maka sebarang tindakan di pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan bagi mengiktiraf UEC sama ada hari ini atau di kemudian hari adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dikanunkan oleh Akta Pendidikan 1996.

Dalam hal ini, UMMAH berpandangan apa-apa keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap agama, bangsa dan negara perlu diperhalusi dengan lebih mendalam termasuk diperbahaskan di Parlimen dengan mengambil kira kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“UMMAH akan terus mendesak bagi membantah pengiktirafan UEC ini dan kami bersedia untuk menggerakkan himpunan aman bagi membantah pengiktirafan ini dan membawa rakyat secara besar-besaran ke dalam perhimpunan aman ini bagi menyatakan pendirian rakyat yang cintakan kepada perpaduan di negara ini,” tegas Aminuddin bagi mengakhiri kenyataan media UMMAH.

Antara yang turut hadir dalam sesi kenyataan media tersebut ialah Pengerusi UMMAH iaitu Ustaz Ismail Mina, wakil-wakil PERKASA, PERKID, ASWAJA, Pertubuhan Alifbata, PEMANTAU, PPIM, PKMM, HALUAN dan beberapa NGO-NGO lain lagi.

Comments