Home Tempatan Sah sekolah tahfiz Ittifaqiyah sengaja dibakar

Sah sekolah tahfiz Ittifaqiyah sengaja dibakar

SHARE

Hanya kerana ejek-mengejek tujuh remaja tergamak memulakan kebakaran di bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan lebih 20 orang kelmarin.

Mereka dipercayai tinggal di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata tiga pelajar tahfiz itu diambil keterangannya bagi membantu siasatan.

Katanya semua tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun itu ada yang masih bersekolah dan ada yang tidak bersekolah.

“Polis juga merampas baju, seluar dan motosikal yang dimiliki suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur malam ini.

Dengan tangkapan itu juga katanya polis percaya kes berkenaan sudah diselesaikan.

Beliau juga menyatakan polis juga mendapatkan maklumat daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran termasuk pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Terdahulu media melaporkan rakaman CCTV menunjukkan terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal membeli minyak petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

Kata Amar Singh, polis mendapati dua tong gas yang ditemui di luar pintu asrama berkenaan dibawa dari tingkat bawah.

Difahamkan suspek dipercayai sengaja mengunci pintu bilik asrama sebelum meletakkan tilam sebagai penghadang, sebelum menghalakan muncung tong gas ke arah pintu bilik asrama pelajar dan guru terbabit.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments